Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Festival Gelombang dan Rentak Tarian serta Regata Perahu Naga wajar jadi acara tahunan pelancongan Lawas
  • Utara
  • WILAYAH

Festival Gelombang dan Rentak Tarian serta Regata Perahu Naga wajar jadi acara tahunan pelancongan Lawas

Utusan Sarawak 5 hours ago
TARIK PELANCONG…(dari kiri) Setiausaha Politik Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Pengerusi Regata Perahu Naga Liaw Kuan Liong, Henry Sum, Liaw Kuan Liong dan Pemanca Tan Yong H’ng pada perasmian Festival Gelombang dan Rentak Tarian 2026 dan Regata Perahu Naga Lawas di Tebingan Sungai Lawas.

LAWAS: Penganjuran Festival Gelombang dan Rentak Tarian 2026 serta Regata Perahu Naga Lawas Ke-2 wajar dimasukkan dalam kalendar pelancongan rasmi daerah ini bagi memperkukuh sektor pelancongan dan merancakkan ekonomi setempat.

Ahli Parlimen Lawas, Datuk Henry Sum Agong berkata, Lawas mempunyai pelbagai program unik seperti Pesta Beras Adan, Pesta Nanas, Pesta Lun Bawang, Festival Gelombang dan Rentak Tarian serta Regata Perahu Naga Lawas yang berpotensi dijadikan acara tetap dalam kalendar pelancongan daerah.

Menurut beliau, keunikan budaya dan tradisi yang dimiliki daerah itu mampu menarik lebih ramai pelancong sekali gus meningkatkan aktiviti ekonomi tempatan.

“Kita memiliki banyak keunikan yang boleh diketengahkan melalui pelbagai pesta dan festival bagi mengaktifkan sektor pelancongan di daerah ini.

“Justeru, acara-acara seperti ini perlu dipromosikan secara lebih meluas menerusi kerjasama dengan rakan media, pempengaruh media sosial dan pelbagai platform lain yang mampu melonjakkan nama Lawas sebagai destinasi pelancongan,” katanya ketika dihubungi di Bangunan Parlimen, hari ini.

Festival Gelombang dan Rentak Tarian serta Regata Perahu Naga Lawas Ke-2 dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan, Kebudayaan dan Ekspedisi Kaum Cina Lawas yang dipengerusikan oleh Liaw Chang Eng dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan.

Henry berkata, kejayaan penganjuran kedua-dua acara tersebut membuktikan kerjasama erat antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan mampu menjana ekonomi tempatan, khususnya dalam sektor pelancongan.

Sehubungan itu, beliau menggesa lebih banyak persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan di daerah ini untuk bekerjasama dengan Pejabat Daerah Lawas serta Pejabat Residen Bahagian Limbang dalam menganjurkan program berskala besar.

“Memang penganjuran sesuatu program memerlukan kos yang tinggi, namun melalui kerjasama dan penggunaan kepakaran tempatan, kita mampu mengurangkan kos yang tidak perlu serta memastikan program dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Festival Gelombang dan Rentak Tarian menampilkan persembahan kebudayaan masyarakat Cina yang melibatkan penyertaan persatuan kebudayaan dari Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei Darussalam dan Sarawak.

Sementara itu, Regata Perahu Naga Lawas menerima penyertaan 39 pasukan dari Brunei Darussalam, Sabah dan Sarawak.

Selain acara utama, penganjuran gerai jualan makanan dan pelbagai produk turut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan kira-kira 150 peniaga kecil dari Lawas, Kuching, Miri, Sabah dan Brunei Darussalam

Oleh Adeng Edrus

Continue Reading

Previous: JTK Sarawak keluarkan tiga notis pelanggaran di tapak binaan Bintulu
Next: KPD Lawas lawat SMK Trusan, perkukuh kerjasama keselamatan sekolah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.