NIAH : Pengalaman latihan memadam kebakaran yang ada pada penghuni dengan bantuan tenaga pekerja ladang telah berjaya mengelakkan 28 pintu Rumah Panjang Brain di Ulu Suai, Niah di sini daripada musnah terbakar dalam kejadian malam semalam.
Dalam kejadian itu, penduduk rumah panjang bersama pekerja ladang telah menggunakan 36 unit alat pemadam api untuk memadamkan kebakaran.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Miri Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong berkata, kebakaran hanya memusnahkan sepenuhnya sebuah bilik dapur pada rumah panjang terbabit.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah yang diketuai PBK Mahamud Punya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan kebakaran kira-kira 9.18 malam semalam.
“Kejadian disedari isteri tuan rumah yang terdengar bunyi salakan anjing lalu pergi memeriksa dan mendapati bahagian dapur sedang terbakar dan beliau terus menjerit meminta bantuan.
“Tidak lama kemudian seluruh penghuni di situ datang membantu membuka siling bumbung dan memadam api berkenaan dari pelbagai sudut sambil meminta bantuan dari Ladang Saremas dan penduduk rumah panjang yang terletak di sekitar dalam lingkungan tiga kilometer,” katanya.
Tambahnya, kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, rumah panjang tersebut mempunyai seramai 191 penghuni dan pernah mengikuti program keselamatan kebakaran anjuran bersama bomba dan jawatankuasa Saluran Paip Gas Sabah – Sarawak (SSGP) Petronas pada 2018, katanya lagi.
Oleh ADUM LIU