Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Nama besar, kekuatan lokal dan ujian politik PRN Johor
  • KOLUMNIS

Nama besar, kekuatan lokal dan ujian politik PRN Johor

Utusan Sarawak 5 hours ago

PENGUMUMAN 56 calon Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Johor memperlihatkan satu strategi politik yang tersusun, tetapi sarat dengan risiko.

Dengan pembahagian 20 calon PKR, 19 Amanah dan 17 DAP, PH bukan sahaja mahu bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri, malah mahu menampilkan dirinya sebagai gabungan yang mempunyai barisan kepimpinan lengkap, berpengalaman dan bersedia menawarkan alternatif pentadbiran kepada Barisan Nasional (BN).

Senarai tersebut menggabungkan penyandang, bekas menteri, Ahli Parlimen, bekas Exco, bekas Speaker DUN, pemimpin akar umbi dan muka baharu berlatar profesional.

Dari sudut imej, PH mahu meyakinkan pengundi bahawa ia bukan sekadar hadir sebagai pembangkang, tetapi mempunyai calon yang mampu mengisi peranan pentadbiran sekiranya diberikan mandat. Namun, kekuatan nama dan pengalaman tidak semestinya dapat diterjemahkan secara langsung kepada kemenangan di peti undi.

Senario PRN Johor

PRN Johor kali ini merupakan ujian penting kepada kemampuan PH untuk pulih selepas kekalahan besar pada 2022. Dalam pilihan raya tersebut, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi, manakala kadar keluar mengundi hanya sekitar 53.55 peratus.

DATUK Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar interim Johor

Keputusan itu menunjukkan bahawa kekuatan sesebuah parti bukan hanya bergantung pada jumlah penyokong, tetapi pada keupayaan membawa mereka keluar mengundi.

BN mempunyai kelebihan dari segi jentera tradisional, disiplin penyokong dan jaringan akar umbi. PH pula mempunyai kekuatan dalam kalangan pengundi bandar, kelas menengah, golongan profesional dan sebahagian pengundi muda.

Namun, sokongan kelompok ini sering lebih berubah-ubah dan mudah dipengaruhi oleh kelesuan politik, kekecewaan atau pertandingan pelbagai penjuru.

Secara keseluruhannya, senarai calon PH memperlihatkan strategi serampang tiga mata. Pertama, gabungan itu mengekalkan unsur pengalaman dengan mengetengahkan tokoh yang pernah berkhidmat di peringkat negeri dan Persekutuan.

Kedua, PH cuba menggabungkan populariti nasional dengan kekuatan tempatan. Ketiga, gabungan itu mahu menunjukkan pembaharuan melalui calon profesional dan pemimpin generasi baharu.

Strategi ini mempunyai kelebihan dari segi keterlihatan. Tokoh seperti Dr Maszlee Malik, Suhaizan Kaiat, Onn Abu Bakar dan Dzulkefly Ahmad sudah dikenali ramai.

Dalam kempen yang singkat, pengenalan nama boleh membantu calon mendapat perhatian media dan memudahkan penyampaian mesej politik.

Namun, pengundi negeri tidak semestinya membuat keputusan berdasarkan populariti nasional. Mereka menilai kehadiran calon di kawasan, rekod khidmat, hubungan dengan komuniti, kemampuan menyelesaikan masalah tempatan dan kesungguhan memahami keperluan penduduk.

Nama besar mungkin menarik orang hadir ke ceramah, tetapi jentera setempat yang menentukan sama ada sokongan itu benar-benar diterjemahkan menjadi undi. Berikut dikemukakan beberapa calon PH yang menjadi tumpuan dalam PRN ini.

Dr Maszlee Malik DUN Puteri Wangsa

DR Maszlee Malik.

Pencalonan Dr Maszlee Malik di Puteri Wangsa merupakan pertaruhan paling strategik dan paling berisiko bagi PH. Maszlee mempunyai kelebihan sebagai bekas Menteri Pendidikan, tokoh akademik dan individu yang mampu berkomunikasi dengan pengundi muda serta berpendidikan. Beliau juga pernah menjadi Ahli Parlimen Simpang Renggam dan bukan tokoh asing dalam politik Johor.

Namun, Puteri Wangsa mempunyai karakter politik yang berbeza. Ia merupakan kerusi bandar dan separa bandar dengan ramai pengundi muda, golongan profesional, kelas menengah dan penduduk yang terhubung dengan perkembangan metropolitan Johor Bahru.

Pengalaman di Simpang Renggam tidak boleh dipindahkan secara automatik ke Puteri Wangsa.

Cabaran terbesar Maszlee ialah kedudukan MUDA. Pada PRN 2022, Amira Aisya Abdul Aziz menang di Puteri Wangsa dengan lebih 22,000 undi dan majoriti melebihi 7,000 undi.

Ketika itu, MUDA mempunyai persefahaman pilihan raya dengan PH. Sekiranya kedua-duanya bertanding secara berasingan, undi pengundi muda, reformis dan kelas menengah berpotensi terbahagi.

Maszlee perlu mengambil alih sebahagian besar undi yang pernah diberikan kepada MUDA, mengekalkan sokongan bukan Melayu, meningkatkan sokongan Melayu bandar dan menolak persepsi bahawa beliau calon “payung terjun”.

Jika menang, PH boleh mendakwa bahawa pengundi reformis kembali bersatu di bawah gabungan itu. Jika kalah akibat perpecahan undi, Puteri Wangsa akan menjadi contoh jelas tentang kos pertandingan pelbagai penjuru.

Suhaizan Kayat di DUN Larkin

SUHAIZAN Kayat.

Calon kedua yang perlu diberi perhatian ialah Suhaizan Kayat di Larkin. Beliau ialah Ahli Parlimen Pulai, bekas Speaker DUN Johor dan pemimpin Amanah yang mempunyai pengalaman politik serta jaringan di Johor Bahru.

Larkin bagaimanapun bukan kerusi mudah. Pada 2022, BN menang dengan majoriti 6,178 undi, manakala PH hanya berada di tempat ketiga dengan 6,448 undi. Ini bermakna Suhaizan bukan sahaja perlu meningkatkan undi PH, tetapi juga menyatukan undi pembangkang yang sebelum ini terbahagi antara PN, MUDA dan PH.

Larkin akan menguji kemampuan Amanah menarik pengundi Melayu bandar dan separa bandar. Jika Suhaizan menang, ia membuktikan bahawa Amanah mampu berkembang melampaui kelompok pengundi progresif dan sederhana.

Jika gagal, timbul persoalan sama ada populariti seorang Ahli Parlimen boleh dipindahkan ke kawasan DUN yang mempunyai dinamik berbeza.

DUN Senggarang

Onn Abu Bakar di Senggarang merupakan calon ketiga yang wajar diperhatikan. Sebagai Ahli Parlimen Batu Pahat, beliau mempunyai pengalaman dan jaringan politik.

Namun, Senggarang lebih bersifat tradisional dan mempunyai pengaruh politik Melayu setempat yang kuat.

Di kawasan seperti Senggarang, populariti nasional dan media sosial tidak mencukupi. Keputusan banyak dipengaruhi oleh hubungan dengan ketua komuniti, tokoh agama, persatuan penduduk, jaringan keluarga dan kekuatan pusat daerah mengundi.

Onn perlu membuktikan bahawa pengaruhnya di peringkat Parlimen boleh diterjemahkan kepada organisasi mikro di peringkat DUN.

Jika beliau berjaya, ia menunjukkan PKR mampu menembusi kawasan Melayu separa luar bandar. Jika kalah, tanggapan bahawa kekuatan PKR masih tertumpu di kawasan bandar dan campuran akan terus kekal.

DUN Kota Iskandar

Dzulkefly Ahmad di Kota Iskandar pula membawa nilai pengalaman. Beliau pernah menjadi ADUN Kota Iskandar dan bekas Exco negeri. Kelebihannya ialah rekod khidmat, pengenalan tempatan dan pengalaman pentadbiran.

Namun, Kota Iskandar telah berubah dengan pesat. Pertambahan kawasan perumahan, pekerja profesional, pengundi muda dan penduduk baharu menjadikan pola pengundian lebih dinamik. Dzulkefly tidak boleh hanya bergantung pada rekod kemenangan 2018.

Kerusi ini penting kerana ia mengukur penerimaan pengundi di koridor pembangunan Iskandar Puteri terhadap naratif pentadbiran PH. Jika menang, Dzulkefly boleh muncul sebagai salah seorang tokoh kanan PH di DUN Johor. Jika kalah, ia menunjukkan bahawa pengalaman lama tidak lagi mencukupi tanpa pembaharuan strategi dan hubungan berterusan dengan pengundi baharu.

DUN Machap

Calon kelima ialah Nor Hafiz Roslan di Machap. Beliau mungkin tidak mempunyai profil nasional seperti calon lain, tetapi nilai politik pencalonannya sangat besar kerana beliau berdepan Menteri Besar sementara Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Perkara ini menjadi cabaran besar.

Onn Hafiz menang pada 2022 dengan majoriti 6,543 undi. Secara realistik, Nor Hafiz bermula sebagai pencabar. Namun, prestasinya tetap penting. Jika beliau mampu mengurangkan majoriti Menteri Besar secara ketara, PH boleh mendakwa bahawa penerimaan terhadap kepimpinan BN tidak sekuat yang digambarkan.

Sebaliknya, jika Onn Hafiz menang dengan majoriti lebih besar, keputusan itu akan mengukuhkan kedudukannya sebagai aset utama BN dan memberi gambaran bahawa beliau mempunyai mandat peribadi yang kukuh.

Sandaran tumpuan

Lima calon ini menjadi “watchlist” kerana profil mereka, tahap kesukaran kerusi, nilai simbolik dan implikasi terhadap kepimpinan PH Johor. Puteri Wangsa menguji hubungan PH-MUDA dan undi muda.

Larkin menguji kemampuan Amanah menarik pengundi Melayu bandar. Senggarang mengukur penembusan PKR ke kawasan tradisional. Kota Iskandar menguji daya tahan pengalaman pentadbiran. Machap pula menjadi referendum kecil terhadap Menteri Besar.

Dalam konteks lebih luas, PRN Johor akan menguji sama ada politik negeri masih didominasi oleh jentera tradisional atau semakin dipengaruhi oleh personaliti dan media digital. PH mempunyai tokoh yang boleh menarik perhatian, tetapi BN mempunyai jentera yang lebih stabil dan penyokong yang lebih konsisten.

Cabaran utama PH ialah mengubah keterlihatan calon kepada mobilisasi sebenar. Setiap calon memerlukan pusat daerah mengundi yang aktif, data pengundi yang kemas, ejen tempat mengundi yang mencukupi dan strategi membawa keluar pengundi.

Ceramah besar dan populariti media sosial tidak menjamin kemenangan sekiranya penyokong gagal hadir pada hari pengundian.

Rumusan

Sesungguhnya senarai calon PH mempunyai kekuatan dari segi pengalaman, kepelbagaian dan pengenalan nama. Namun, senarai itu masih perlu membuktikan keseimbangan antara tokoh berprofil tinggi dengan kekuatan lokal. PRN Sabah lalu menjadi trauma politik kepada PH di Johor.

Puteri Wangsa dan Larkin merupakan ujian paling penting kepada daya saing PH, manakala Machap mempunyai nilai simbolik tertinggi. Senggarang dan Kota Iskandar pula akan menentukan tahap PH mampu memperluas pengaruhnya merentasi kawasan Melayu tradisional dan koridor bandar baharu.

Jika PH mencatat kemenangan atau kemajuan besar di kerusi-kerusi ini, gabungan tersebut boleh mendakwa bahawa ia telah belajar daripada kekalahan 2022.

Namun, jika calon-calon utamanya gagal, mesejnya jelas, iaitu politik Johor masih lebih ditentukan oleh jentera tempatan, kesetiaan parti, hubungan akar umbi dan kemampuan membawa keluar pengundi berbanding populariti nasional semata-mata.

  • Datuk Profesor Dr Awang Azman Awang Pawi adalah ahli akademik di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau kini ialah Ahli Majlis Penasihat Perpaduan Negara  dan  Felo Kanan Akademi Kenegaraan Malaysia.
Tags: Dr Awang Azman

Continue Reading

Previous: Sejarawan dalam penelitian peristiwa lalu

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.