Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Pelajar digesa rebut peluang pendidikan percuma di IPT milik Sarawak
  • PENDIDIKAN

Pelajar digesa rebut peluang pendidikan percuma di IPT milik Sarawak

Utusan Sarawak 5 hours ago
UNTUK KENANGAN…Dato Sri Lee Kim Shin bersama guru merakamkan gambar kenangan bersama para pelajar yang hadir pada majlis Sesi Motivasi dan Penyerahan Alat Tulis di Dewan Sekolah SMK Baru di Miri hari ini.

MIRI: Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin menggesa pelajar memanfaatkan sepenuhnya peluang pendidikan universiti percuma yang diperkenalkan kerajaan Sarawak dengan belajar bersungguh-sungguh demi masa depan yang lebih cerah.

Beliau berkata, inisiatif bersejarah yang dilaksanakan mulai tahun ini membolehkan anak Sarawak mengikuti pengajian secara percuma dalam 64 program yang diluluskan di empat institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.

Menurutnya, institusi berkenaan ialah Universiti Curtin Malaysia di Miri, Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu, Kampus Sarawak Universiti Teknologi Swinburne di Kuching serta Kolej Universiti i-CATS.

“Anak-anak Sarawak hari ini sangat bertuah kerana kerajaan negeri telah menyediakan peluang pendidikan universiti percuma. Oleh itu, saya berharap pelajar akan belajar dengan lebih tekun kerana tiada lagi alasan untuk tidak melanjutkan pelajaran disebabkan kekangan kewangan.

“Jika diterima masuk ke salah satu daripada 64 program yang diluluskan, pelajar akan menikmati pendidikan universiti secara percuma,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sesi Motivasi dan Penyerahan Alat Tulis kepada Pelajar SMK Baru di dewan sekolah itu, hari ini.

Lee berkata, pelaksanaan pendidikan percuma itu bertujuan melahirkan lebih ramai modal insan berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan pembangunan Sarawak pada masa hadapan.

Menurutnya, negeri ini memerlukan lebih ramai tenaga profesional dalam pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, perakaunan, pendidikan dan teknologi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang pesat.

“Jika kita mempunyai ramai anak Sarawak yang berilmu dan berkemahiran, mereka boleh menjadi pakar dalam bidang masing-masing serta membantu membangunkan negeri ini tanpa terlalu bergantung kepada tenaga pakar dari luar.

“Kita mahu melahirkan modal insan yang berkelayakan dan mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang supaya segala sumber yang dimiliki Sarawak dapat diurus dan dimanfaatkan oleh anak tempatan sendiri,” ujarnya.

Beliau berkata, pembangunan modal insan merupakan antara strategi utama kerajaan Sarawak dalam mencapai aspirasi menjadi wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Pendidikan adalah asas kepada kemajuan. Apabila seseorang memiliki kelayakan profesional dan kemahiran tinggi, mereka berpeluang memperoleh pekerjaan yang lebih baik serta pendapatan yang lebih lumayan.

“Justeru, saya berharap semua pelajar akan terus berusaha mencapai kecemerlangan kerana masa depan Sarawak bergantung kepada generasi muda yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling

Continue Reading

Previous: 30,488 pelajar baharu mendaftar di politeknik bagi sesi 1 2026/2027 – Zambry

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.