ADENG IDRUS
LIMBANG: Semua pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang akan mula pulang ke Limbang dan Lawas pada peringkat pertama ini akan dikuarantin selama tujuh hari di rumah masing-masing.
Ini bagi memastikan mereka bebas daripada Covid-19 selepas mendapat pengesahan daripada pihak tertentu termasuk KPM.
Muda Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata jumlah itu membabitkan sebahagian penghantaran pulang penuntut institusi pengajian tinggi dan swasta di bahagian ini yang dianggarkan sekitar lebih 300 pelajar yang menuntut di Semenanjung Malaysia dan Sabah.
“Mereka yang akan pulang akan dikuarantin dirumah selama tujuh hari dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) akan memantau dan mengambil sampel untuk diuji,” ujarnya.
Penghantaran pulang seramai 41 pelajar penuntut institusi pengajian tinggi Kolej Matrikulasi Labuan ke Limbang dan Lawas peringkat pertama akan bermula Sabtu ini.
Perjalanan pulang penuntut institusi pengajian tinggi dan swasta yang belajar di Semenanjung pulang ke Sarawak akan ditanggung oleh kerajaan negeri melalui Sarawak Volunteers mengikut prosedur operasi standard ( SOP) tertentu yang digariskan Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atau institusi pengajian mereka belajar .
Dr Abdul Rahman yang juga ADUN Bukit Kota menyatakan demikian ketika ditemui media selepas Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan Kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Limbang di sini semalam.
Pada masa yang sama daripada jumlah 41 orang pelajar itu, 23 orang adalah pelajar dari Limbang dan 18 orang daripada Lawas.
Kerajaan negeri akan menyewa khas sebuah feri untuk membawa ke semua 41 pelajar ke Lawas dan ke Limbang melalui SOP melibatkan jabatan tertentu termasuk Jabatan Kesihatan.
Semasa menjalani kuarantin di rumah, pelajar terbabit akan diberi penjejakan digital yang disediakan oleh Sarawak Multimedia Autoriti (SMA) sebanyak 200 unit.
Pendekatan ini membolehkan pergerakan mereka dipantau melalui digital supaya mereka tidak bergerak keluar yang dipakai seperti gelang ditangan.
Penghantaran pulang penuntut institusi pengajian tinggi di bahagian ini akan diurus kerajaan Sarawak secara berperingkat sebelum sambutan Aidilfitri ini.