
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersedia mendapatkan bantuan daripada agensi penguatkuasaan antarabangsa sekiranya dikesan kegiatan perjudian haram atau sindiket mengatur perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 yang melibatkan rangkaian jenayah rentas negara.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata walaupun pemantauan ketika ini tertumpu kepada operasi sindiket di dalam negara, PDRM sentiasa bersedia memperluas kerjasama dengan rakan agensi penguatkuasaan luar negara termasuk ASEANAPOL dan Interpol sekiranya ada keperluan.
Beliau berkata cabaran utama pihak berkuasa ketika ini ialah perubahan corak operasi sindiket yang semakin bergantung kepada teknologi, termasuk penggunaan aplikasi dalam talian, platform digital dan peranti pintar bagi menjalankan aktiviti pertaruhan secara tersembunyi, berbanding pertaruhan di premis fizikal.
”Saya juga telah mengarahkan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di setiap kontinjen untuk memantau rapi dan mengambil tindakan drastik bagi menghentikan sepenuhnya kegiatan perjudian siber terbabit,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (RESPA) ke-42 di Maktab PDRM Kuala Lumpur, Cheras di sini hari ini.
Sebelum ini, Pengarah JSJ Bukit Aman Datuk M. Kumar dalam satu kenyataan memaklumkan sebanyak 58 individu disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan haram ditahan menerusi Ops Soga XI yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 11 Jun lepas.
Operasi bersepadu dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu turut merampas wang tunai bernilai RM25,684 berserta nilai pertaruhan mencecah RM488,582.
Selain itu, sebanyak 42 laman sesawang yang digunakan bagi mempromosikan kegiatan perjudian haram turut dikesan sepanjang operasi berkenaan.
Rantau Asia Tenggara sebelum ini sering dikaitkan dengan aktiviti perjudian bola sepak haram dan pengaturan perlawanan yang didalangi rangkaian jenayah terancang antarabangsa, yang sering mengeksploitasi pasaran pertaruhan pada kejohanan besar.
Piala Dunia FIFA 2026 di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico kini berlangsung pada peringkat kumpulan dengan penyertaan 48 pasukan. – Bernama