SEBUYAU: “Tiada lagi feri, dan tidak akan ada tol. Ini janji yang ditepati GPS,” kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, semalam.
Ujarnya, dalam tempoh tidak lama lagi, rakyat Sarawak boleh merentas negeri dengan lebih mudah setelah siapnya semua jambatan di sepanjang jalan pesisir.
Tambahnya, kos pembinaan jambatan di sepanjang 896 kilometer jalan pesisir yang menghubungkan Teluk Melano hingga ke Miri ini adalah dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak.
“Kesemua jambatan yang menghubungkan jalan pesisir ini adalah menggunakan duit Kerajaan Sarawak, kecuali dua jambatan iaitu Jambatan Samarahan dan Jambatan Sadong.
“Itupun kedua-duanya adalah usaha dari Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Barisan Nasional yang terdahulu bersama Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem), mantan Ketua Menteri kita.
“Ini adalah hasrat dan perjuangan beliau (Tok Nan). Kita galas dan penuhi demi kemudahan, kebajikan dan kepentingan rakyat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Lupar, di sini semalam.
Menurutnya, komitmen pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) ini adalah seiring dengan kejayaan mendapatkan hak ke atas tuntutan Cukai Jualan Negeri (SST) terhadap minyak dan gas sebelum ini.
“Melihat kepada Perlembagaan Persekutuan 1963 serta Ordinan Perlombongan Minyak (OMO), kita (Sarawak) mempunyai hak tertentu berkaitan minyak dan gas di negeri ini.
“Tambahan pula, sedia maklum bahawa perkara ini sudahpun diperakui oleh Kerajaan Persekutuan menerusi Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA) yang ditandatangani baru-baru ini.
“Ini bermakna kita mempunyai pendapatan tambahan yang akan digunakan untuk merancakkan lagi pembangunan masa depan negeri kita ini,” jelasnya.
Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Masing, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Amar Michael Manyin, Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Datuk Julaihi Narawi, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Oleh AKMAL ADIB YUSUP