Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • AirBorneo bakal tampil dengan model operasi baharu tangani isu harga tiket 
  • SEMASA

AirBorneo bakal tampil dengan model operasi baharu tangani isu harga tiket 

Utusan Sarawak 14 hours ago
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menandatangani buku pelawat sebagai gimik perasmian Pusat Kebudayaan Bidayuh Bau(BCCB) , di Bau, hari ini. 

BAU: Kerajaan Sarawak bakal memperkenalkan model operasi baharu bagi AirBorneo dalam usaha menangani isu harga tiket penerbangan yang semakin membebankan rakyat, khususnya bagi laluan antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, model tersebut akan diumumkan selepas kerajaan negeri melengkapkan proses peralihan dan mengambil alih sepenuhnya pengurusan syarikat penerbangan berkenaan.

Menurut beliau, harga tiket pulang balik yang boleh mencecah RM2,000 ketika ini menjadi antara faktor utama yang mendorong kerajaan negeri merangka pendekatan baharu bagi memastikan akses pengangkutan udara lebih mampu dinikmati rakyat.

“Sebab itu saya ada model sendiri dan pada masa yang sesuai nanti saya akan jelaskan bagaimana kita mahu menguruskan harga tiket dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pusat Kebudayaan Bidayuh Bau(BCCB) di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, perincian mengenai model tersebut belum dapat didedahkan memandangkan AirBorneo masih dalam proses peralihan sebelum beroperasi sepenuhnya di bawah kerajaan Sarawak.

Dalam pada itu, Abang Johari menegaskan AirBorneo bukan sekadar sebuah syarikat penerbangan, malah merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang kerajaan negeri untuk memperkukuh hubungan dan mobiliti rakyat serta merancakkan aktiviti ekonomi.

Katanya, sama seperti pembinaan jalan raya dan jambatan yang menghubungkan kawasan di daratan, AirBorneo akan berperanan sebagai ‘jambatan udara’ yang membuka lebih banyak peluang kepada sektor pelancongan, perdagangan dan industri kreatif.

“Apabila rangkaian perhubungan ini kukuh, lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan dan industri seperti pelancongan serta sektor kreatif akan terus berkembang,” katanya.

Abang Johari berkata, pembangunan infrastruktur pengangkutan yang cekap dan berdaya saing merupakan antara elemen penting dalam memastikan Sarawak mampu mencapai sasaran menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Mengulas mengenai BCCB, Abang Johari berkata pembinaan kemudahan tersebut yang pernah berdepan kelewatan akibat kekangan kewangan akhirnya dapat direalisasikan selepas Sarawak berjaya memperkukuh kedudukan ekonominya dan menjana sumber pendapatan sendiri.

Menurut beliau, BCCB bukan sekadar sebuah bangunan baharu, sebaliknya menjadi simbol kemajuan masyarakat Bidayuh serta platform untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya mereka kepada generasi akan datang.

“Gunakan kemudahan ini sebaik-baiknya untuk aktiviti kebudayaan, persembahan, pameran dan mempromosikan produk tempatan supaya ia dapat memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya.

Untuk rekod, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, BCCB yang dibina dengan kos RM9 juta menerusi inisiatif Projek Rakyat (PR) Kerajaan Sarawak mula dibina pada 21 Disember 2023 sebelum siap sepenuhnya pada 28 Januari lalu.

Beliau berkata kemudahan tersebut dilengkapi dewan serbaguna yang mampu menampung lebih 1,000 pengunjung pada satu-satu masa selain ruang pameran, bilik mesyuarat serta elemen seni bina berasaskan reka bentuk tradisional baruk yang menjadi identiti masyarakat Bidayuh.

“BCCB bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi lambang identiti, warisan dan harapan masyarakat Bidayuh untuk generasi akan datang,” katanya.

Oleh Shahrul Qaizat

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: GPS masih sibuk bangunkan Sarawak, belum fikir soal PRN

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.