ZARINA ABDULLAH
KUCHING: Bagi memantau pergerakan pelajar di antara daerah dalam Sarawak di kawasan zon merah dan kuning ke kawasan hijau, mereka akan dipasangkan “Tag Gelang Tangan” dan dikeluarkan notis duduk di rumah (SHN).
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, pelajar ini juga akan diambil sampel pada hari ketujuh dan sekiranya keputusan adalah negatif, mereka akan terus kekal berada di rumah sehingga habis tempoh 14 hari.
“Tindakan ini adalah penting bagi memastikan mereka bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19 selain untuk mengekalkan kawasan mereka kekal zon hijau dan begitu seterusnya.
“Manakala bagi pelajar Sarawak yang datang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan yang uruskan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), mereka akan tiba di Kuching semalam sebelum dihantar ke rumah dan kampung halaman masing-masing.
“Urusan pengangkutan bagi penghantara balik pelajar di Sarawak pula diuruskan oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS),” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada sidang media harian perkembangan Covid-19 di Kuching, semalam.
Mengulas mengenai sebarang masalah yang dihadapi dalam proses penghantaran ini dan kuarantin, Uggah berkata pihaknya bekerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi melakukan yang terbaik dan menguruskan sebaik mungkin.
“Apa sahaja masalah yang dihadapi, kita sedang menanganinya, di Kuala Lumpur turut terdapat pasukan yang mengumpul jumlah pelajar Sarawak serta mengendalikan urusan kepulangan mereka.
“Kami telah berbincang dengan JPBN peringkat bahagian untuk mempersiapkan bagi kepulangan pelajar ini dan semua mestilah mengikut operasi prosedur standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Kita memohon kerjasama semua dan usaha ini bukan untuk menyusahkan mereka, oleh itu kita memohon kepada semua, fahami apa yang perlu dilakukan dan kita mengucapkan terima kasih atas pengorbanan mereka,” ujarnya.
Menurut Uggah, operasi penghantaran pelajar institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta adalah dikendalikan oleh KPT, manakala matrikulasi dibawah Kementerian Pendidikan.