JADIKAN dua pemain legenda Malaysia dan Sarawak, Ramos Sari, Ramles Sari sebagai inspirasi dan idola kepada pemain skuad Sri Aman Bawah 25 tahun.
Pengurus Pasukan Sri Aman, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata kehadiran dua kembar Sari itu ke dalam skuad Sri Aman yang bakal menghadapi Kejohanan Piala Liga SSC/FAS Bawah 25 tahun mampu menyuntik semangat kepada pemain muda yang telah terpilih.
“Diharap pemain-pemain muda Sri Aman bawah 25 tahun mengambil peluang ini dan menjadikan bekas pemain legenda Malaysia dan Sarawak ini sebagai inspirasi atau idola untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi selepas ini.
“Ia sekali gus dengan khidmat sebagai jurulatih yang ditaburkan seperti ‘sirih pulang ke gagang’ oleh kedua-dua anak jati kelahiran Banting, Simanggang itu mampu membawa kejayaan serta berupaya mengharumkan nama Sri Aman nanti,” katanya.
Awang Putrayusrie berkata, ini adalah titik permulaan menjadi satu impian dan harapan agar usaha ini berjaya mengangkat kegemilangan bola sepak di Sri Aman dan Simanggang pada masa akan datang.
“Ia dilihat menjadi penanda aras kepada pembangunan bola sepak di kawasan ini bagi melahirkan lebih ramai pelapis untuk diserapkan ke dalam pasukan negeri dan negara satu hari nanti.
“Kita telah mula mengorak langkah untuk melahirkan lebih ramai pemain muda sebagai pelapis untuk diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi san mahu menjadikan Sri Aman sebagai ‘kilang’ atau pengeluar pemain-pemain muda,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan latihan pemain Sri Aman bawah 25 tahun berjalan dengan lancar dan berharap setiap pemain yang terpilih akan bekerja keras, bukan sahaja ketika latihan malah semasa perlawanan sebenar nanti.
Beliau turut mengakui tugas sukar sedang menanti menjelangnya perlawanan pertama menentang pasukan Kapit FA, 27 Mac nanti di Kompleks Sukan Sri Aman.
“Dari segi persediaan, pasukan kita dilihat telah bersedia walaupun terdapat beberapa pemain masih belum serasi, namun ia bukan masalah besar kerana yang penting pemain perlu terus konsisten dengan kecergasan dan stamina,” ujarnya lagi.
Oleh ADI SAFARMAN