
KUCHING: Sektor pembinaan di Kuching dan Sarawak berdepan peningkatan kos susulan ketegangan geopolitik di rantau Teluk, namun situasi bekalan bahan binaan masih stabil dan kebanyakan projek diteruskan mengikut jadual.
Penasihat Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) Kuching, Dato Sim Kiang Chiok berkata, setakat Jun 2026, tiada petunjuk berlakunya kekurangan serius bahan binaan walaupun kos logistik, bahan api dan bahan mentah menunjukkan trend peningkatan.
Menurut beliau, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi sebelum ini memaklumkan bahawa kesan konflik tersebut masih berada pada tahap yang boleh dikawal dan kontraktor masih mampu menyerap kenaikan kos tanpa menjejaskan pelaksanaan projek infrastruktur yang sedang berjalan.
Katanya, Kementerian Kerja Raya bersama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) turut menyediakan pelbagai strategi mitigasi jangka pendek, sederhana dan panjang bagi menangani sebarang peningkatan kos pembinaan pada masa hadapan.
Dalam sektor pembangunan swasta di Sarawak, aktiviti pembangunan masih rancak meskipun kos pembinaan semakin meningkat.
Maklum balas industri menunjukkan pemaju berdepan kenaikan kos diesel, pengangkutan, keluli, simen serta bahan binaan import. Bagaimanapun, rantaian bekalan tempatan masih berfungsi dengan baik dan tiada laporan mengenai kekurangan meluas simen, besi tetulang, agregat atau konkrit siap bancuh di Sarawak.
“Cabaran utama ketika ini adalah peningkatan kos input secara beransur-ansur dan bukannya masalah ketersediaan bahan binaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, margin keuntungan pemaju swasta di Kuching mungkin terjejas sekiranya harga bahan binaan terus meningkat, namun keadaan semasa masih jauh lebih baik berbanding gangguan bekalan yang dialami ketika pandemik COVID-19.
Tambahnya, sektor pembinaan Sarawak dijangka terus berdaya tahan selagi konflik di rantau Teluk tidak menjejaskan bekalan bahan api global dalam tempoh yang panjang.
Mengulas perkembangan terkini, Sim berkata memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai antara Amerika Syarikat dan Iran baru-baru ini memberi harapan positif kepada pasaran global apabila membantu meredakan kebimbangan terhadap gangguan bekalan tenaga dunia.
Katanya, perkembangan itu turut membuka laluan kepada pembukaan semula Selat Hormuz, yang menjadi laluan penting bagi hampir satu perlima perdagangan minyak dan gas asli cecair dunia.
Susulan pengumuman tersebut, harga minyak global mencatatkan penurunan ketara apabila minyak mentah Brent dan WTI masing-masing jatuh ke paras terendah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Beliau berkata, penurunan harga minyak dan bahan api berpotensi mengurangkan kos pengangkutan, logistik serta pembuatan bahan binaan seperti simen, keluli dan agregat dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Walaupun manfaatnya mungkin mengambil masa untuk dirasai sepenuhnya dalam rantaian bekalan, pemaju dan kontraktor berharap tekanan kos yang dialami sebelum ini dapat berkurangan pada separuh kedua tahun 2026.
“Namun, pemain industri perlu terus berwaspada memandangkan perjanjian damai berkenaan masih berada pada peringkat interim dan sebarang gangguan baharu dalam pasaran tenaga global boleh kembali memberi kesan kepada kos pembinaan,” katanya.
Oleh Norman B