Milan: Itali sekali lagi menguatkuasakan sekatan pergerakan (lockdown) pada Isnin susulan penularan gelombang ketiga Covid-19 di negara itu.
Separuh daripada wilayah negara itu – termasuk dua wilayah paling padat penduduk iaitu Milan dan Rom – dikenakan sekatan terbaharu itu.
Ia memberi kesan kepada tiga perempat daripada penduduk negara berkenaan.
The Independent UK melaporkan penularan gelombang baharu virus itu menyebabkan hospital sukar untuk menempatkan pesakit.
Menerusi sekatan terbaharu itu, pusat asuhan kanak-kanak, sekolah dan universiti tidak dibenar beroperasi.
Kedai juga diarah ditutup, manakala restoran pula hanya menyediakan makanan untuk bawa pulang.
Pihak berkuasa mengkategorikan zon merah dengan peraturan paling ketat dan ia membabitkan Lombardy di utara, sehingga Puglia di selatan, termasuk wilayah tengah Lazio di sekeliling ibu kota Itali.
Lockdown ini akan berkuat kuasa sehingga 6 April.
Sukan di dalam bangunan masih dibenarkan tetapi pergerakan antara wilayah tidak dibenarkan, kecuali untuk kerja, perubatan dan keperluan tertentu.
Individu yang mahu merentas wilayah juga perlu mendapatkan permit untuk berbuat demikian.
Bahagian lain di negara itu dikategorikan sebagai zon jingga.
Selain itu hanya Pulau Sardinia dikategorikan sebagai zon putih.
Setakat ini, kes positif Covid-19 di Itali adalah 3.22 juta dengan 102,000 kematian.-AFP