
ISTANBUL: Agensi berita rasmi Iran, IRNA pada Rabu menyiarkan teks penuh memorandum persefahaman (MoU) 14 perkara antara Iran dan Amerika Syarikat (AS).
Menurut Anadolu Ajansi, dokumen itu menggariskan rangka kerja untuk menamatkan permusuhan, memulakan rundingan ke arah perjanjian muktamad serta menangani pelbagai isu termasuk sekatan, keselamatan maritim, program nuklear Iran dan usaha pembinaan semula.
Peruntukan utama draf berkenaan merangkumi:
- Penghentian operasi ketenteraan serta-merta dan kekal di semua medan termasuk di Lubnan, dengan komitmen untuk tidak menggunakan kekerasan serta menjamin kedaulatan Lubnan.
- Saling menghormati kedaulatan dan integriti wilayah serta tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman masing-masing.
- Rundingan mengenai perjanjian muktamad dalam tempoh 60 hari, yang boleh dilanjutkan dengan persetujuan bersama.
- Penamatan sekatan laut AS dan sekatan berkaitan, dengan penamatan sepenuhnya dalam tempoh 30 hari serta pengunduran pasukan AS dari kawasan sekitar Iran selepas perjanjian muktamad dicapai.
- Pemulihan perkapalan komersial dan pelayaran melalui Selat Hormuz, dengan Iran berunding bersama Oman dan negara pesisir Teluk yang lain mengenai pentadbiran masa depannya.
- Penubuhan program pembinaan semula dan pembangunan ekonomi bernilai sekurang-kurangnya AS$300 bilion untuk Iran dengan sokongan AS dan rakan serantau.
- Komitmen AS untuk menamatkan semua sekatan terhadap Iran, termasuk sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), yang berkaitan dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), serta sekatan utama dan sekunder AS mengikut jadual yang dipersetujui bersama.
- Penegasan semula Iran bahawa negara itu tidak akan menghasilkan atau memperoleh senjata nuklear, di samping rundingan mengenai bahan diperkaya dan aktiviti nuklear awam.
- Mengekalkan status quo sepanjang rundingan, dengan Iran mengekalkan program nuklear sedia ada manakala AS tidak mengenakan sekatan baharu atau menambah penempatan ketenteraan.
- Pengecualian sekatan oleh AS yang membolehkan eksport minyak dan produk petrokimia Iran termasuk perkhidmatan berkaitan perbankan, insurans dan pengangkutan.
- Pelepasan serta penggunaan penuh dana dan aset Iran yang dibekukan, dengan prosedur yang akan dipersetujui semasa rundingan.
- Penubuhan mekanisme pelaksanaan bersama bagi memantau pematuhan terhadap memorandum dan perjanjian muktamad pada masa depan.
- Permulaan rundingan mengenai perjanjian muktamad sebaik pelaksanaan bermula bagi peruntukan utama termasuk gencatan senjata, langkah maritim, pengecualian eksport minyak dan akses kepada aset yang dibekukan.
- Pengesahan perjanjian muktamad menerusi resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengikat.
Terdahulu pada Rabu, pegawai AS mengeluarkan draf persefahaman dengan Iran bagi menamatkan konflik antara kedua-dua negara. Majlis menandatangani perjanjian itu sebelum ini dijadual berlangsung pada Jumaat di Switzerland. – Bernama