Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • RM1.8 juta projek lampu solar manfaatkan 14 kampung di DUN Kalaka
  • Tengah
  • WILAYAH

RM1.8 juta projek lampu solar manfaatkan 14 kampung di DUN Kalaka

Utusan Sarawak 5 hours ago
MOHAMAD Duri ketika menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Projek Pemasangan Lampu Solar DUN N.38 Kalaka yang berlangsung di Pusat Khidmat ADUN Kalaka, di Saratok semalam. Foto: ADUN Kalaka

SARATOK: Sebanyak 14 kampung di Daerah Saratok kini sedang menikmati manfaat projek pemasangan lampu solar yang dilaksanakan di bawah peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) berjumlah RM1.8 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, projek tersebut sedang giat dilaksanakan oleh kontraktor yang dilantik melalui proses tender oleh Majlis Daerah Saratok selaku agensi pelaksana.

Menurut beliau, pihak Majlis Daerah Saratok memaklumkan bahawa pemasangan lampu solar akan diteruskan di beberapa rumah panjang dan kawasan penempatan termasuk Nyiar, Jelupang dan Empayak, selain lokasi berisiko tinggi yang telah dipohon oleh 14 Ketua Kaum di kawasan masing-masing.

“Projek ini adalah bukti komitmen berterusan Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka dalam menyediakan kemudahan, meningkatkan keselamatan serta mempertingkatkan kualiti hidup penduduk di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri mesyuarat Penyelarasan Projek Pemasangan Lampu Solar DUN N.38 Kalaka yang berlangsung di Pusat Khidmat ADUN Kalaka, dekat sini semalam.

Menurut Mohamad Duri, pemasangan lampu solar bukan sahaja memberi pencahayaan di jalan kampung, lorong kediaman dan laluan ke pangkalan sungai, malah turut meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya pada waktu malam.

Sejurus selepas mesyuarat tersebut, turut berlangsung Majlis Serah Tapak Pemasangan Lampu Solar dan Kerja-Kerja Berkaitan bagi kawasan Rumah Panjang Nyawai Selambong, Rumah Rengan Selambong, Kampung Kupang Hulu, Tengah dan Hilir serta kampung di seberang Kampung Perpat.

Beliau turut memaklumkan bahawa pemasangan lampu solar akan diperluaskan ke Kampung Hulu, Tengah dan Hilir Perpat menerusi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) ADUN N.38 Kalaka bagi 2026.

Sebelum ini, sebanyak RM400,000 peruntukan RTP telah digunakan bagi melaksanakan pemasangan lampu solar di semua rumah panjang di kawasan Sungai Antu, Entebu, Senyawan, Batu Burak, Sungai Ruan dan Sungai Engkabang.

“Usaha ini akan diteruskan pada 2027 bagi memenuhi keperluan kawasan lain yang masih memerlukan kemudahan pencahayaan solar,” jelasnya.

Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS), Majlis Daerah Saratok, Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka serta kontraktor yang terlibat atas komitmen dalam menjayakan projek berkenaan.

Projek pemasangan lampu solar ini dilihat sebagai antara inisiatif penting kerajaan dalam memperkukuh pembangunan luar bandar serta meningkatkan kesejahteraan penduduk di kawasan DUN Kalaka.

Oleh Adi Safarman

Continue Reading

Previous: IPD Lawas adakan penyerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara kepada pesara Polis Daerah Lawas
Next: MBKS tegas larang jual, pindah milik gerai Festival Makanan Kuching

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.