
SYDNEY: Jumlah kematian rakyat Australia akibat pengambilan dos berlebihan dadah mencapai paras tertinggi dalam sejarah pada 2024, menurut laporan yang diterbitkan pada Selasa.
Laporan tahunan terkini oleh Penington Institute, sebuah kumpulan penyelidikan dasar dadah bebas yang berpangkalan di Sydney, mendedahkan seramai 2,596 individu meninggal dunia akibat dos berlebihan pada 2024, bersamaan purata tujuh kematian setiap hari.
Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 10.7 peratus berbanding 2,345 kematian yang direkodkan pada 2023, sekali gus menjadi angka tertinggi yang pernah dicatatkan.
Daripada 2,596 kematian berkaitan dadah pada 2024, laporan itu menyatakan yang 2,091 daripadanya adalah kematian tidak disengajakan, meningkat 15.1 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Penington Institute John Ryan berkata dalam satu kenyataan media, krisis dos berlebihan dadah di Australia semakin meruncing kerana negara itu terlalu bergantung kepada pendekatan hukuman berbanding langkah yang dapat menyelamatkan nyawa.
“Tujuh rakyat Australia meninggal dunia setiap hari akibat dos berlebihan. Ini bukan tragedi terpencil. Ia adalah kematian yang boleh dicegah dan sedang berlaku dalam komuniti di seluruh negara,” katanya.
Laporan itu turut menyatakan bahawa lelaki menyumbang kepada 1,520 kematian tidak disengajakan akibat dadah berbanding 571 wanita. Selain itu, golongan berusia antara 50 hingga 59 tahun merupakan kumpulan umur yang mencatatkan jumlah kematian tidak disengajakan tertinggi.
Golongan yang mengambil Opioid pula meliputi 41.9 peratus daripada kematian tidak disengajakan akibat dadah, manakala kematian yang melibatkan kokain turut meningkat 28.2 peratus berbanding tahun sebelumnya. – Bernama-Xinhua