
SYDNEY: Pihak berkuasa Australia mendakwa dua warga Mexico berhubung cubaan terancang menyeludup lebih 200 kilogram (kg) methamphetamine ke Sydney, lapor Xinhua.
Polis Persekutuan Australia (AFP) dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan dimulakan selepas anjing pengesan Pasukan Sempadan Australia memberi petunjuk positif terhadap kehadiran narkotik ketika memeriksa sebuah kontena perkapalan yang tiba dari Mexico pada awal Jun.
Penyiasat forensik AFP kemudian menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas kontena itu dan mengenal pasti lapisan methamphetamine yang diserap dalam cat bahagian dalaman kontena berkenaan.
Menurut polis, kontena itu mengandungi lebih 200kg methamphetamine dengan anggaran nilai pasaran jalanan sebanyak 185 juta dolar Australia (AS$130.6 juta).
Siasatan membawa kepada pelaksanaan waran geledah oleh AFP di sebuah premis di barat laut Sydney pada Isnin, dengan pihak berkuasa merampas peranti elektronik serta peralatan industri yang didakwa digunakan untuk mengekstrak methamphetamine itu.
Dua warga Mexico seorang bapa dan anak lelakinya masing-masing berusia 49 dan 25 tahun ditahan di premis berkenaan sebelum didakwa atas satu pertuduhan cuba memiliki kuantiti komersial dadah kawalan sempadan yang diimport secara haram.
Jika disabitkan kesalahan, mereka berdepan hukuman maksimum penjara seumur hidup.
Seorang lagi warga Mexico, wanita berusia 25 tahun, turut ditahan namun dibebaskan sementara siasatan lanjut dijalankan. – Bernama