
KUCHING: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun yang disyaki terlibat dalam kes rogol membabitkan seorang remaja perempuan di sebuah apartmen di sini.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu, berkata pihaknya menerima laporan pada sekitar 4.02 petang, 10 Jun lalu daripada seorang wanita tempatan berusia 43 tahun yang mendakwa anak perempuannya menjadi mangsa rogol.
“Susulan laporan tersebut, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menjalankan siasatan dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 45 tahun di kawasan Jalan Simpang Tiga kira-kira 10.25 malam, pada semalam bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek juga didapati negatif,” katanya.
Alexson berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun serta boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Beliau turut menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dan segera melaporkan sebarang kejadian jenayah kepada pihak polis.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan IPD Kuching menerusi talian 082-244444 bagi membantu siasatan dan tindakan lanjut.
Oleh Connie Chieng