Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • BISNES
  • Pelabur Malaysia dipelawa manfaatkan peluang infrastruktur di Timor-Leste – Presiden Ramos-Horta
  • BISNES

Pelabur Malaysia dipelawa manfaatkan peluang infrastruktur di Timor-Leste – Presiden Ramos-Horta

Utusan Sarawak 15 hours ago
PRESIDEN Timor-Leste Jose Ramos-Horta berucap pada sesi dialog bersama pelajar bertajuk Dunia Berubah, Nilai Tetap Utuh di Kampus Taylor’s University Lakeside hari ini. Foto Bernama

PETALING JAYA: Timor-Leste mempelawa pelabur Malaysia untuk meneroka peluang pelaburan dan mendapatkan kontrak projek ketika negara memulakan pembangunan infrastruktur secara besar-besaran, kata Presiden José Ramos-Horta.

Beliau berkata pembangunan Timor-Leste disokong oleh perancangan projek infrastruktur secara besar-besaran dan dibiayai menerusi dana kekayaan berdaulat serta pinjaman pembangunan daripada institusi multilateral seperti Bank Pembangunan Asia (ADB), Bank Dunia dan Perbadanan Kewangan Antarabangsa (IFC).

“Kami tidak mempunyai sebarang pinjaman daripada bank komersial. Kami sifar hutang kepada bank komersial. Jumlah hutang kami kurang daripada 14 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Kami mempunyai dana berdaulat yang kecil dan melabur di peringkat antarabangsa dalam lebih 1,000 portfolio. Pulangan daripada dana berdaulat kami jauh lebih tinggi berbanding kadar faedah yang kami bayar bagi pinjaman daripada ADB dan institusi lain,” katanya pada sesi dialog bertajuk “A Changing World, Enduring Values” di Universiti Taylor di sini, hari ini.

Beliau berkata antara projek pembangunan utama Timor-Leste ialah Pusat Konvensyen Antarabangsa Dili yang dijangka siap sebelum 2029 dan menjadi pembangunan mercu tanda yang memperkukuh sektor pelancongan dan penganjuran acara menjelang peranannya sebagai Pengerusi ASEAN pada 2029.

Projek lain ialah Pelabuhan Antarabangsa Dili.Timor-Leste, secara rasmi menjadi negara anggota ke-11 ASEAN apabila penyertaan penuhnya dimuktamadkan semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur tahun lepas, sekali gus menamatkan usaha selama 14 tahun sejak permohonan awal dibuat pada 2011.

Dalam perkembangan berasingan, Ramos-Horta berkata semua faktor tersebut membuka peluang besar untuk memperkukuh kerjasama ekonomi serta memperluas hubungan perniagaan dengan Malaysia dan negara lain di rantau ini.

Beliau berkata semakin ramai rakyat Malaysia berkunjung ke Timor-Leste, didorong oleh kesalinghubungan penerbangan yang lebih baik antara kedua-dua negara.

“Di Timor-Leste, terdapat dua syarikat penerbangan yang menyediakan penerbangan terus ke Dili dari Kuala Lumpur. Satu ialah Batik Air dan satu lagi ialah syarikat penerbangan Timor-Leste, Aero Dili,” katanya.

Beliau berkata Aero Dili kini mengendalikan satu penerbangan seminggu ke Kuala Lumpur, manakala Batik Air mengendalikan tiga penerbangan seminggu.

“Pesawat dari Malaysia sentiasa penuh berbanding dari Singapura atau Bali, Indonesia. Ini menunjukkan tahap minat rakyat Malaysia terhadap Timor-Leste,” katanya.

Ramos-Horta tiba di Malaysia pada 13 Jun untuk lawatan khas selama lima hari.

Perdagangan Malaysia-Timor-Leste bernilai AS$18.72 juta (RM85.68 juta) pada 2024, dengan eksport mencecah AS$18.37 juta (RM84.06 juta) dan import bernilai AS$0.35 juta (RM1.62 juta). – Bernama

Tags: Bisnes

Continue Reading

Previous: Tiada lagi caj RM1 untuk pengeluaran ATM antara bank mulai 1 Julai 2026
Next: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS susulan jangkaan kadar FED tidak berubah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.