
GEORGE TOWN: Kementerian Pendidikan (KPM) memberi jaminan bahawa tiada sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) atau sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) akan ditutup di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata pendirian itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan semua aliran sekolah terus dipelihara sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara.
Beliau berkata kerajaan memahami kebimbangan yang sering disuarakan masyarakat, khususnya komuniti Cina dan India, mengenai masa depan sekolah vernakular, termasuk isu kekurangan murid serta cabaran berkaitan tapak sekolah.
“Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkali-kali, sama ada di dalam Parlimen ataupun di luar Parlimen, menegaskan sekolah vernakular adalah sebahagian daripada sistem pendidikan kita yang penting.
“Komitmen Kerajaan MADANI adalah untuk menjamin tiada mana-mana sekolah, sama ada SJKC ataupun SJKT akan ditutup. Kita mengekalkan semua sekolah yang sedia ada,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Pembinaan Bangunan Baharu SJKT Rajaji, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Khas Sekolah Tamil Pulau Pinang, Datuk Seri S Sundarajoo.
Wong berkata sebelum ini timbul pelbagai kebimbangan mengenai kemungkinan sekolah tertentu ditutup atau digabungkan, selain kedudukan sekolah vernakular yang sering dipersoal oleh pihak tertentu.
Justeru, beliau berkata jaminan kerajaan itu diharap dapat memberi keyakinan kepada lembaga pengelola sekolah (LPS), warga pendidik dan komuniti setempat untuk terus menumpukan perhatian terhadap pembangunan sekolah masing-masing.
Beliau menegaskan KPM akan terus memberi perhatian kepada pembangunan semua aliran sekolah di negara ini selaras dengan aspirasi kerajaan bagi memastikan akses pendidikan berkualiti dapat dinikmati oleh setiap murid tanpa mengira latar belakang.
Sementara itu, beliau berkata peningkatan peruntukan penyelenggaraan daripada RM20 juta kepada RM50 juta bagi SJKT yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari lepas merupakan sebahagian usaha memperkukuh infrastruktur pendidikan di seluruh negara, di samping memastikan kemudahan asas sekolah berada dalam keadaan selamat, kondusif dan sesuai untuk proses pengajaran serta pembelajaran.
Selain itu, katanya, ia juga mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap keperluan semasa sekolah vernakular, khususnya yang berdepan isu penyelenggaraan bangunan dan kemudahan asas, dengan agihan akan dibuat secara lebih tersusun berdasarkan keperluan sebenar setiap sekolah.
Dalam perkembangan berkaitan, Wong berkata sebanyak 22 SJKT berstatus sekolah bantuan kerajaan di Pulau Pinang akan menerima dana berjumlah RM1.156 juta bagi pembelian serta penggantian perabot menerusi peruntukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
Beliau berkata pelaksanaan pembekalan perabot itu akan dilakukan dalam tempoh satu hingga dua bulan selepas proses pemadanan keperluan sekolah diselesaikan bersama pihak pentadbiran sekolah di negeri terlibat. – Bernama