
SARATOK: Isu infrastruktur dan kemudahan asas luar bandar terus mendapat perhatian serius daripada kepimpinan setempat dalam usaha memastikan kebajikan masyarakat sentiasa terbela.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, beliau telah mengadakan perjumpaan bersama pihak Sarawak Energy Berhad bersama pemohon projek Dana Permohonan Lewat dan Tambahan (ALAF) mengenai permohonan seorang penduduk ke atas projek bekalan elektrik ke rumah beliau di Kampung Pagan.
Menurut beliau, satu sesi perbincangan khas telah diadakan di Pusat Khidmat ADUN N.38 Kalaka bagi memperincikan status serta langkah seterusnya berhubung permohonan tersebut.
Turut hadir dalam sesi perbincangan berkenaan ialah Ketua Kaum Kampung Pagan, Sajali Ali Hassan bersama Kaunselor Kasdi Pandi bagi memberikan input serta sokongan terhadap isu yang dibangkitkan.
Mohamad Duri menjelaskan, permohonan projek ALAF itu telah disenaraikan bersama pemohon yang lain oleh Ketua Kaum Sajali dan telah dihantar kepada pihak Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) melalui Pejabat Daerah Saratok.
Langkah tersebut adalah sebahagian daripada prosedur standard bagi memastikan setiap permohonan yang dikemukakan mendapat penilaian sewajarnya daripada pihak kementerian.

“Saya telah memaklumkan kepada semua ahli mesyuarat bahawa pihak MUT akan melaksanakan projek ALAF melalui SEB, dan SEB yang akan melantik kontraktor melalui proses tender,” katanya.
Selesai perjumpaan tersebut, Mohamad Duri bersama pihak Sarawak Energy Berhad telah mengadakan lawatan dan siasatan tapak ke Rumah Cessus Clay Nyangga di Sungai Engkabang Tengah Roban.
Dalam lawatan tersebut, pasukan teknikal telah membuat pemeriksaan ke atas pendawaian elektrik utama dan talian servis serta talian pengagihan voltan tiga fasa ke rumah panjang tersebut bagi mengenal pasti keperluan naik taraf.
Hasil daripada lawatan dan siasatan tapak tersebut, terdapat dua skop kerja yang akan dilaksanakan di Rumah Panjang Cessus Clay Nyangga iaitu memindah satu tiang voltan rendah (LT) dan mendirikan dua tiang LT yang baharu, serta pemasangan pendawaian elektrik utama yang baharu.
Beliau berharap agar segala proses perancangan berjalan lancar dan semoga kerja-kerja pemasangan dan pemindahan tiang LT tersebut dapat dilaksanakan dgn jayanya demi keselesaan penduduk kampung.
Oleh Adi Safarman