Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Kelibat beberapa buaya di Pantai ABF undang kerisauan penduduk tempatan
  • Utara
  • WILAYAH

Kelibat beberapa buaya di Pantai ABF undang kerisauan penduduk tempatan

Utusan Sarawak 6 hours ago
NORSHAMSILI Abdullah, nelayan kawasan ketika ditemui media di kawasan pesisiran pasar nelayan, Pantai ABF hari ini.

BINTULU: Kelibat beberapa ekor buaya yang dilihat di sekitar Pantai ABF sejak kebelakangan ini terus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan terutama kepada nelayan dan pemancing lebih-lebih lagi ketika musim hujan yang dipercayai meningkatkan aktiviti reptilia berkenaan di kawasan pesisir.

Menurut beberapa nelayan tempatan, kehadiran buaya di kawasan itu bukanlah perkara baharu, namun penampakan reptilia berkenaan dilaporkan semakin kerap muncul sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Seorang nelayan tempatan, Norshamsili Abdullah, berkata kehadiran buaya di kawasan tersebut dipercayai berpunca daripada kolam atau kawasan air terbiar berhampiran yang menjadi habitat sementara reptilia berkenaan sebelum bergerak ke sungai dan pantai.

Beliau berkata, walaupun sudah biasa melihat kelibat buaya sejak sekian lama, beliau tetap berhati-hati terutama ketika turun ke sungai pada awal pagi untuk mengail.

“Saya memang selalu nampak buaya di kawasan ini. Sudah jadi biasa, tapi tetap kena berhati-hati. Saya tahu cara elak dan tidak ganggu haiwan itu,” katanya.

Beliau turut menambah, sekiranya buaya yang berada di kawasan tersebut sememangnya sudah lama menetap di situ, ia mungkin sudah biasa dengan persekitaran dan ‘kerenah manusia’ serta tidak mengganggu aktiviti harian.

Namun, beliau melahirkan kebimbangan sekiranya buaya yang dilihat merupakan reptilia yang datang dari kawasan hutan atau tempat lain, memandangkan saiznya yang besar dan berpotensi mengancam keselamatan penduduk setempat.

“Kalau memang buaya yang sudah lama ada di sini, mungkin ia sudah biasa dengan manusia dan tidak ganggu. Tapi kalau buaya pendatang dari hutan, kita tidak tahu perangainya. Saiz pun nampak besar dan boleh ancam nyawa,” katanya sambil menasihatkan orang ramai agar sentiasa menjaga keselamatan ketika berada di sungai.

AZRUL Sanai ketika ditemui media di kawasan pesisiran pasar nelayan, Pantai ABF hari ini.

Seorang lagi nelayan, Azrul Sanai, berkata buaya di kawasan berkenaan sememangnya sudah lama wujud, namun sejak kebelakangan ini terdapat dakwaan bahawa saiznya semakin besar sehingga dianggarkan boleh mencecah kira-kira 3.048 meter panjang.

Menurutnya, keadaan itu sedikit sebanyak menjejaskan hasil tangkapan ikan serta aktiviti hariannya, selain menyebabkan beliau tidak berani untuk turun mencuci bot di kawasan berkenaan kerana bimbang akan keselamatan diri.

“Buaya di sini memang sudah lama ada, kecil dan besar. Tapi kebelakangan ini nampak lebih besar daripada biasa. Saya sendiri jadi takut nak turun cuci bot,” katanya.

Azrul turut menasihatkan rakan-rakan nelayan lain supaya sentiasa berhati-hati ketika menjalankan aktiviti di sungai, meskipun setakat ini belum ada sebarang kes serangan buaya dilaporkan di kawasan tersebut.

Walaupun belum berlaku sebarang insiden, beliau menegaskan bahawa orang ramai perlu sentiasa berwaspada kerana tidak diketahui dari mana asal buaya yang dilihat di kawasan itu.

Sementara itu, seorang pemancing, Domanic Ricky, berkata beliau sering memancing di kawasan Pantai ABF dan pernah melihat dua ekor buaya bersaiz besar di sekitar kawasan tersebut.

DOMANIC Ricky, pemancing kawasan ketika ditemui media di pesisir kawasan Pantai Tanjung Batu, hari ini

Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap keselamatan pengunjung yang datang beriadah bersama keluarga, khususnya kanak-kanak yang bermain di kawasan pantai dan air cetek.

“Dua ekor buaya besar saya pernah nampak di sini. Saya risau juga kalau ada keluarga bawa anak-anak mandi manda. Buat masa sekarang memang tidak sesuai untuk bermandi-manda kerana buaya belum ditangkap,” katanya.

Beliau turut berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi memantau dan menangani isu penampakan buaya di kawasan berkenaan demi keselamatan orang awam.

Dalam pada itu, walaupun Sungai Kemena sebelum ini pernah tular dengan kes penangkapan buaya bersaiz besar, Pantai ABF turut tidak terkecuali menerima kesan sama apabila penampakan reptilia bersaiz besar turut dikesan di kawasan tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk dan pengunjung.

Sehubungan itu, orang ramai yang berkunjung ke Pantai ABF dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada, mengelakkan aktiviti mandi-manda atau terlalu hampir dengan kawasan air, serta mematuhi langkah keselamatan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

Oleh Faizah Muzidi

Continue Reading

Previous: Projek BBDA bantu tingkat taraf kehidupan penduduk rumah panjang di Krian
Next: ADUN Kalaka pantau projek ALAF, usaha percepat bekalan elektrik luar bandar

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.