Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Daerah Kabong berdepan fenomena penuaan penduduk, kebajikan warga emas perlu diperkasa
  • Tengah
  • WILAYAH

Daerah Kabong berdepan fenomena penuaan penduduk, kebajikan warga emas perlu diperkasa

Utusan Sarawak 6 hours ago
KENANGAN… ADUN Kabong bergambar bersama dengan penduduk di kawasan Kabong yang hadir pada Majlis Penangguhan Kursus Penjagaan Asas Warga Emas Siri 1/2026.

KABONG: Daerah Kabong kini berhadapan dengan fenomena penuaan penduduk yang semakin ketara berdasarkan data terkini, sekali gus memerlukan perhatian dan tindakan bersepadu daripada semua pihak bagi memastikan kebajikan serta kesejahteraan warga emas terus terpelihara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, masyarakat perlu memandang serius tanggungjawab menjaga golongan warga emas selaras dengan perubahan demografi yang sedang berlaku di kawasan tersebut.

Menurut beliau, kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) serta Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) sentiasa komited dalam menyediakan pelbagai dasar, program dan latihan bagi menghadapi status negeri menua menjelang tahun 2028.

Beliau berkata, Kursus Penjagaan Asas Warga Emas yang diperkenalkan sejak 2023 merupakan antara langkah proaktif kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu penuaan serta melahirkan penjaga warga emas yang berkemahiran dalam komuniti.

“Usaha ini penting bagi memastikan masyarakat mempunyai pengetahuan dan kemahiran asas dalam mengurus serta menjaga kebajikan warga emas secara lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penangguhan Kursus Penjagaan Asas Warga Emas Siri 1/2026 yang berlangsung di Dewan Balai Polis Kabong, semalam.

Dalam majlis tersebut, Chee Kadir turut merakamkan penghargaan kepada 60 peserta yang terdiri daripada wakil Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat yang telah mengikuti kursus selama dua hari itu.

Menurut beliau, penyertaan yang memberangsangkan itu memperlihatkan kesediaan masyarakat Kabong untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga emas di kawasan masing-masing.

Pada masa sama, Chee Kadir turut menggariskan tiga hala tuju utama yang perlu diberi perhatian selepas tamat kursus berkenaan bagi memastikan impaknya dapat diteruskan di peringkat komuniti.

Katanya, KMKK diseru mengenal pasti dan membangunkan profil warga emas di kawasan masing-masing bagi memudahkan pemantauan kebajikan, tahap kesihatan serta keperluan sokongan yang diperlukan oleh golongan tersebut.

Selain itu, NGO dan pertubuhan masyarakat disaran mempergiatkan aktiviti sosial serta sokongan moral supaya warga emas terus aktif, sihat dan tidak terpinggir dalam kehidupan bermasyarakat.

Beliau turut menggalakkan peserta yang telah menerima latihan agar tampil sebagai barisan hadapan atau first responders dalam membantu warga emas ketika berlaku kecemasan atau keperluan penjagaan khas di kawasan kejiranan masing-masing.

Chee Kadir menegaskan bahawa walaupun sokongan daripada pelbagai agensi dan institusi akan terus diperkukuhkan, kekuatan sebenar sesebuah komuniti terletak pada tahap keprihatinan, ilmu pengetahuan dan kerjasama masyarakat setempat.

Sehubungan itu, beliau berharap ilmu yang diperoleh melalui kursus berkenaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi mewujudkan Daerah Kabong yang lebih prihatin, selamat dan mesra warga emas.

Chee Kadir turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, pasukan penceramah, fasilitator serta semua pihak yang telah menyumbang tenaga dan kerjasama dalam menjayakan kursus tersebut.

Oleh Adi Safarman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Gelanggang Futsal LAKIS Saratok kini berwajah baharu
Next: Projek BBDA bantu tingkat taraf kehidupan penduduk rumah panjang di Krian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.