
SIBU: Kira-kira 50 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyertai seminar iaitu ‘Road to SPM A Plus’ anjuran Majlis Kanak-Kanak Sibu bagi memperkukuh persediaan mereka menghadapi peperiksaan tersebut.
Pengerusi Pasukan Petugas Majlis Kanak-Kanak Sibu, Kaunselor Kiing Teck Ho berkata, seminar itu diadakan kerana pihaknya yakin para pelajar mempunyai potensi besar untuk mencapai kecemerlangan serta membantu mereka menghadapi peperiksaan SPM dengan lebih yakin.
“SPM dianggap sebagai pencapaian penting dalam bidang akademik, dan tekanan menjelang peperiksaan ini merupakan perkara yang lazim.
“Namun, untuk mencapai keputusan A Cemerlang, ia bukan sekadar memerlukan berjam-jam membaca dan mengulang kaji, tetapi juga memerlukan hala tuju yang betul, minda yang positif serta bimbingan yang tepat,” katanya ketika merasmikan seminar itu di Perpustakaan Awam Majlis Perbandaran Sibu (MPS), hari ini.
Menurutnya, kejayaan seminar itu turut disokong oleh kerjasama guru-guru berpengalaman dari pelbagai sekolah di Sibu yang hadir untuk berkongsi ilmu, teknik menjawab soalan dan strategi peperiksaan bersama para peserta.
“Para pendidik yang hadir bersedia membimbing anda ke arah kejayaan, membantu anda memahami mata pelajaran yang mencabar serta format peperiksaan yang sukar.
“Saya menggalakkan anda semua untuk memanfaatkan sepenuhnya peluang ini. Bertanyalah soalan, catat nota dengan teliti dan jangan teragak-agak untuk berinteraksi dengan para penceramah,” katanya.
Beliau berkata, ilmu serta keyakinan yang diperoleh menerusi seminar tersebut akan menjadi aset penting kepada pelajar apabila menduduki peperiksaan kelak.
Kiing turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas usaha menjayakan program berkenaan serta berharap seminar itu dapat berlangsung secara interaktif dan memberi impak positif kepada semua peserta.
Oleh Akun Giman