KUCHING: Sarawak Energy mengingatkan kontraktor untuk menghubungi syarikat utiliti elektrik sebelum memulakan kerja penggalian untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
Pengurus Wilayah Barat Sarawak Energy, Choo Min Chong dalam satu kenyataan media mengatakan bahawa gangguan akibat daripada penggalian dapat dielakkan jika pihaknya dimaklumkan dengan terlebih dahulu sebelum menjalankan apa-apa kerja di lapangan.
Katanya, walaupun usaha berterusan dalam mendidik kontraktor tentang pentingnya keselamatan saluran elektrik, pemadaman akibat penggalian masih menjadi salah satu faktor penyumbang yang membawa ketidakselesaan kepada pelbagai pihak.
“Hubungi pihak kami sebelum anda menggali, kerana keberangkalian besar kabel bawah tanah berada di tempat kerja terutama di kawasan yang maju.
“Kerosakan pada kabel bawah tanah ini bukan sahaja mengakibatkan gangguan elektrik yang memerlukan kerja-kerja pembaikan yang banyak untuk mengembalikan bekalan malah ia juga bahaya untuk keselamatan.
“Oleh itu, keselamatan awam adalah keutamaan kami dan kami mahu semua orang pulang dengan selamat – termasuk kontraktor, ”katanya
Choo berkata, kontraktor yang terlibat dalam kerja penggalian akan bertanggungjawab untuk semua kos pembaikan.
“Kami akan terus memantau situasi di lapangan dan akan menasihatkan pemilik projek untuk mengeluarkan notis berhenti kerja sementara kepada kontraktor sehingga semua laluan kabel dikenal pasti di kawasan pembinaan,” ujarnya.
Dalam kenyataan yang sama, Sarawak Energy menegaskan bahawa mana-mana kontraktor pihak ketiga yang melanggar piawaian keselamatan semasa bekerja berhampiran kabel elektrik langsung akan diberi surat amaran dan pesanan berhenti kerja oleh Sarawak Energy.
Katanya, salinan surat-surat ini juga akan dihantar ke Unit Pemeriksa Elektrik (EIU) di bawah Kementerian Utiliti, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan pemilik projek untuk tindakan selanjutnya untuk memastikan kontraktor mengambil keselamatan dengan serius.
“Kontraktor diminta untuk mematuhi Peraturan Elektrik, Peraturan Elektrik 1999 dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 ketika menjalankan kerja-kerja di sekitar kabel ketegangan tinggi atau infrastruktur elektrik lain untuk memastikan keselamatan dan kesihatan semua orang yang terlibat.
“Kontraktor boleh menghubungi Pusat Panggilan 24 jam Sarawak Energy di talian 1300-88-3111 atau e-mel customercare@sarawakenergy.com untuk memberitahu mengenai kerja-kerja berhampiran infrastruktur elektrik yang memerlukan nasihat teknikal Sarawak Energy,” katanya.
Baru-baru ini, tiga kejadian akibat kerja penggalian oleh kontraktor pihak ketiga yang mempengaruhi pengguna di Lebuhraya Kuching-Samarahan.
Sebanyak 488 kes kerosakan kabel dicatat sejak tahun 2018 yang menanggung kos sebanyak RM3.2 juta. Pada tahun ini sahaja, Sarawak Energy menerima 15 kes gangguan penggalian pihak ketiga.
Oleh JEAKQLEYN YACHO