AKHIR-akhir ini, perniagaan atas talian mendapat sambutan luar biasa sehinggakan ramai yang beralih ke bidang ini.
Mana tidaknya, sejak tercetusnya Covid-19 di Malaysia pada tahun 2020, ramai peniaga dan penjaja yang terkesan, terutama sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu.
Dalam usaha memastikan kelangsungan jualan, ada peniaga mengambil inisiatif menggerakkan perniagaan secara dalam talian termasuk menerusi FB Live.
Seorang penjual ikan segar, Jack Chung yang menjual hasil laut menerusi FB Live berkata, perniagaan dalam talian yang dilakukannya jauh lebih baik berbanding jualan secara langsung.
“Saya mula menjual ikan menerusi FB Live sejak PKP dilaksanakan. Tidak dinafikan beniaga dalam talian lebih bagus berbanding berniaga macam biasa kerana ada orang tidak mahu keluar rumah ekoran penularan pandemik COVID-19.
“Syukur, dengan cara ini jualan ikan segar mendapat sambutan yang sangat baik daripada pelanggan,” katanya ketika ditemui di Tamu Dato Haji Ahmad Lai di Luak Bay di sini.
Chung membuat siaran langsung menerusi akaun FB miliknya iaitu “Ikan fish” yang kini mempunyai lebih 2,000 pengikut.
Katanya, memasarkan hasil laut menerusi cara itu bukan sahaja memberi keuntungan, malah pelanggan dapat membeli ikan lebih murah dari harga pasaran.
“Ketika membuat live, saya akan menjelaskan kepada penonton, jenis ikan atau hasil tangkapan laut, kesegaran ikan hingga harga yang ditawarkan,” ujarnya.
Menurutnya, ikan atau hasil laut lain yang ditempah pelanggan akan dihantar menggunakan khidmat penghantaran ke rumah mereka.
Chung menjual pelbagai jenis hasil laut segar seperti ikan bawal , udang, sotong, kerang dan sebagainya di tamu berkenaan sejak tiga tahun lalu.
Selain memasar hasil laut secara Live, Chung turut membantu menjual hasil tani para peniaga di tamu berkenaan.
Baginya, dengan menggunakan FB Live, ia memudahkannya untuk meningkatkan perniagaanya, sekali gus menambah pelanggan dengan cara yang praktis namun efektif.
Oleh Liong Chai Ling