
KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan untuk melancarkan adunan biodiesel B15 merupakan satu langkah strategik memandangkan bahan mentah yang lebih murah mampu melemahkan paras inflasi domestik dan mengurangkan kos fiskal, kata CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd.
Firma pelaburan itu berkata anggaran kos fiskal mandat biodiesel boleh mengecil melangkaui RM1 bilion pada 2026, sebahagian besarnya disebabkan oleh harga relatif minyak sawit yang menggalakkan.
“Di tengah-tengah harga diesel dan beban subsidi yang tinggi, penjimatan biodiesel boleh menyumbang kepada pelepasan fiskal keseluruhan, walaupun secara sederhana,” katanya dalam laporan Economic Focus hari ini.
Bagaimanapun, CGS International berkata kebimbangan akan timbul apabila keadaan kembali normal iaitu apabila harga minyak sawit mula melebihi harga petrol.
“Ini boleh mengakibatkan lonjakan kos pengguna dan komitmen fiskal yang semakin meluas. Ini adalah ‘catch-22’ bagi kerajaan kerana ia boleh menjejaskan objektif pengurusan inflasi serta penjimatan kos,” katanya.
Firma itu menyatakan bahawa keselamatan tenaga telah muncul menjadi keutamaan, khususnya selepas wujud ketegangan geopolitik seperti konflik Amerika Syarikat-Iran sehingga menyebabkan banyak negara terpaksa menilai semula ekonomi mereka berikutan kejutan harga minyak.
“Dalam konteks ini, biodiesel bertindak sebagai lindung nilai strategik dalam mengurangkan pergantungan kepada import diesel dan menstabilkan bekalan tenaga.
“Walaupun ia mungkin melibatkan perbelanjaan fiskal yang lebih tinggi, nilai keselamatan dan insurans terhadap gangguan masa depan mewajarkan langkah ini,” jelasnya.
CGS International berkata infrastruktur biodiesel Malaysia memerlukan peningkatan yang ketara untuk menyokong mandat pengadunan yang lebih tinggi, termasuk pengubahsuaian kepada tangki simpanan, sistem pengadunan dan rangkaian pengedaran bagi memastikan konsistensi serta kebolehpercayaan merentas rantaian bekalan.
Kementerian Perladangan dan Komoditi menjelaskan industri mungkin memerlukan RM643 juta dalam naik taraf depoh untuk meningkatkan kandungan minyak sawit dalam biodiesel daripada 10 peratus (B10) kepada 20 peratus (B20).
“Dengan kilang penapisan berjalan pada margin yang tipis, sektor swasta tidak lagi tertarik kepada pelaburan modal tambahan. Pada masa yang sama, ruang fiskal yang terhad oleh kerajaan mungkin memberikan kekangan dari segi dasar,” katanya.
Firma itu berkata langkah ke arah B15 akan meningkatkan permintaan domestik untuk minyak sawit dengan tambahan 300,000 tan metrik kepada 400,000 tan metrik setahun.
Ini akan mengatasi penggunaan semasa sebanyak 930,000 tan metrik di bawah mandat B10, meningkatkan jumlah penggunaan kepada 1.3 juta tan metrik bagi keseluruhan program biodiesel
“Ini membantu mengurangkan stok minyak sawit sebanyak 2.4 juta tan menjelang akhir Mei 2026.
“Berbanding dengan jumlah pengeluaran minyak sawit tahunan sebanyak 20 juta tan, mandat B15 boleh membantu menyerap sehingga tujuh peratus daripada jumlah keluaran,” katanya lagi. – Bernama