Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Bintulu jadi Kluster Perindustrian Peralihan pertama di Malaysia
  • TEMPATAN

Bintulu jadi Kluster Perindustrian Peralihan pertama di Malaysia

Utusan Sarawak 6 hours ago
PREMIER Sarawak menyampaikan ucaptama sempena majlis pelancaran TIC Bintulu di BCCK, Kuching.

KUCHING: Bintulu dipilih sebagai lokasi Kluster Perindustrian Peralihan (Transitioning Industrial Cluster, TIC) pertama Malaysia di bawah inisiatif Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pemilihan itu meletakkan Sarawak dalam rangkaian global yang memacu transformasi industri rendah karbon dan pembangunan perindustrian mampan.

“TIC merupakan platform kerjasama yang menghimpunkan kerajaan, pemain industri, institusi kewangan, penyedia teknologi dan institusi penyelidikan bagi mempercepatkan peralihan sektor perindustrian ke arah operasi yang lebih cekap, berdaya saing dan rendah karbon.

“Masa depan pembangunan industri tidak lagi bergantung kepada akses kepada sumber, tenaga dan pasaran semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh keupayaan industri memenuhi keperluan kemampanan yang semakin menjadi keutamaan di peringkat global,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena majlis pelancaran TIC Bintulu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

 GIMIK pelancaran TIC Bintulu disempurnakan oleh Premier Sarawak dan tetamu kehormat lain di BCCK, Kuching.

Tambah beliau, penyertaan Bintulu dalam rangkaian TIC membolehkan Sarawak mengakses kepakaran antarabangsa, teknologi baharu serta kerjasama strategik dalam bidang tenaga bersih, hidrogen, pengurusan karbon, pendigitalan dan pembangunan tenaga kerja.

“Bagi Bintulu, penyertaan dalam rangkaian TIC menghubungkan kluster industri kita dengan platform global yang merangkumi 39 kluster di 20 negara yang sedang membentuk masa depan industri yang bersih dan berdaya saing.

“Rangkaian tersebut secara kolektif mewakili kira-kira AS$808 bilion output ekonomi, 6.6 juta peluang pekerjaan serta potensi pengurangan pelepasan karbon sebanyak 870 juta tan,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Bintulu dipilih kerana memiliki gabungan faktor yang jarang terdapat di rantau ini, termasuk kedudukan strategik, sumber tenaga yang kukuh, ekosistem perindustrian yang matang serta potensi pertumbuhan jangka panjang.

Katanya, Bintulu telah lama menjadi pusat pembangunan industri Sarawak dan menempatkan salah satu kompleks gas asli cecair (LNG) terbesar di dunia, selain berfungsi sebagai pintu masuk utama yang menghubungkan sumber, industri dan eksport Sarawak ke pasaran antarabangsa.

PREMIER Sarawak dan tetamu kehormat lain mengadakan lawatan tinjauan di kawasan pameran pelancaran TIC Bintulu di BCCK, Kuching.

“Pembangunan Samalaju dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) turut mengukuhkan kedudukan Bintulu sebagai lokasi sesuai untuk pelaksanaan TIC.

“Melalui SCORE, Sarawak telah melabur dalam infrastruktur, kapasiti tenaga dan ekosistem industri yang diperlukan untuk menarik industri baharu dan mempelbagaikan ekonomi negeri.

“Hari ini, Samalaju menempatkan industri-industri utama yang berintensifkan penggunaan tenaga termasuk aluminium, feroaloi, petrokimia dan pembuatan maju,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa SCORE setakat ini telah menarik pelaburan bernilai kira-kira AS$20 bilion dan mewujudkan salah satu koridor perindustrian paling signifikan di Asia Tenggara.

Jelasnya lagi, pemilihan Sarawak sebagai lokasi TIC pertama Malaysia turut dipengaruhi oleh komitmen negeri itu terhadap agenda peralihan tenaga dan pembangunan mampan melalui pelbagai dasar yang telah diperkenalkan.

“Antaranya termasuk Dasar Peralihan Tenaga Sarawak, Pelan Hala Tuju Ekonomi Hidrogen, Pelan Tindakan Kelestarian serta Strategi Sifar Bersih dan Pelan Karbon Sarawak yang sedang dibangunkan.

“Inisiatif TIC juga akan membantu mempercepatkan pelaksanaan strategi penyahkarbonan industri negeri, sekali gus menyokong usaha Sarawak mengekalkan kedudukan sebagai wilayah bersih negatif.

“Bagi memastikan matlamat tersebut dapat dicapai, empat projek perintis telah dikenal pasti untuk dilaksanakan di bawah inisiatif TIC bermula tahun ini,” katanya.

Empat projek perintis berkenaan ialah;

  • Operasi Pembuatan Pintar yang memanfaatkan teknologi digital dan analitik data bagi meningkatkan produktiviti industri,
  • Hab CCU-H2 Sarawak yang memberi tumpuan kepada penggunaan karbon dan pengeluaran hidrogen,
  • Simbiosis Perindustrian yang menggalakkan perkongsian sumber antara industri,
  • Inisiatif Bakat TIC Bintulu yang memberi fokus kepada pembangunan dan latihan semula tenaga kerja.

Menurut beliau, pelaksanaan projek-projek tersebut dijangka membantu meningkatkan kecekapan operasi industri, mempercepatkan penggunaan teknologi baharu, mengurangkan pelepasan karbon serta mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Pada masa sama, pembangunan TIC dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Bintulu dan Samalaju sebagai koridor perindustrian strategik, selain meningkatkan daya tarikan Sarawak sebagai destinasi pelaburan dalam sektor industri rendah karbon.

“Jika kita berjaya, Bintulu bukan sahaja akan menyumbang kepada masa depan Sarawak, malah membantu membentuk masa depan pembangunan industri di Malaysia, ASEAN dan seterusnya,” ujarnya.

Oleh Masrin Affirah

Continue Reading

Previous: Piala Dunia: Perlawanan pemanas badan England tergendala kerana ribut petir

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.