
KUALA LUMPUR: Teater Randai Macbeth terbitan Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA), Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), bakal dipentaskan di IX International Theatre and Education Festival-Forum (Nauruz) di Kazan, Rusia pada 15 dan 16 Jun ini.
Pementasan itu bersempena dengan pemilihan Kazan sebagai Cultural Capital of the Islamic World 2026, sekali gus menjadikan bandar raya tersebut sebagai pusat pertemuan festival dan forum negara-negara Islam sepanjang tahun ini.
Penerbitnya yang juga Dekan PuTRA ASWARA Mohd Kamarulzaman Taib atau Che Kem berkata penyertaan itu memberi peluang keemasan untuk memperkenalkan seni warisan Melayu kepada masyarakat antarabangsa, khususnya di wilayah sekitar Rusia.

“Pemilihan Randai Macbeth untuk mewakili Malaysia adalah sesuatu yang cukup bermakna kerana ia sebuah teater antarbudaya yang menggabungkan naskhah Barat dalam kerangka tradisi Melayu.
“Lebih membanggakan apabila Randai Macbeth terpilih selepas melalui proses penilaian ketat yang menyaksikan pihak penganjur hanya memilih dua buah negara sahaja pada edisi kali ini, iaitu Malaysia dan Maghribi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Festival anjuran Galiasgar Kamal Tatar State Academic Theatre itu bertujuan memperkukuh hubungan antara penggiat teater antarabangsa menerusi pertukaran pengalaman kreatif serta meningkatkan mutu estetik penerbitan.

Penyertaan tersebut juga menjadi kesinambungan usaha pengukuhan kerjasama industri kreatif kedua-dua negara susulan penyertaan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Shaharuddin Abu Sohot dalam Forum Ekonomi Antarabangsa Ke-17 (KazanForum), Mei lalu.
Mohd Kamarulzaman berkata delegasi Malaysia yang terdiri daripada 32 orang akan berada di Rusia dari 12 hingga 19 Jun ini dengan tajaan penuh pihak penganjur serta sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
“Membawa nama Malaysia adalah beban yang besar untuk digalas tetapi kami amat berbangga dengan komitmen anggota produksi demi membawa misi kebudayaan negara,” katanya.

Randai Macbeth mula dipentaskan pada 2024 di Black Box ASWARA di bawah arahan Dr Norzizi Zulkifli dengan menampilkan barisan pelakon teater berpengalaman termasuk Juhara Ayob, Rosman Ishak, Eliza Mustaffa, Amer Amizan, Adika Zainal, Ijat Ashari dan Che Kem sebagai Macbeth.
Tahun lalu, produksi itu mencipta sejarah apabila merangkul lapan anugerah pada BOH Cameronian Arts Awards ke-20 termasuk kategori utama, Produksi Terbaik.
Sebelum berangkat ke Rusia, teater ini turut mencatatkan kejayaan luar biasa apabila kesemua tiket habis terjual ketika dipentaskan di The Esplanade bersempena dengan Pesta Raya Singapore pada April serta ketika pementasan semula di Kuala Lumpur pada Mei lepas.- Bernama