
BEIJING: Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) Kirsty Coventry berkata semalam, badan itu memantau teliti cabaran yang dihadapi semasa Piala Dunia FIFA dan yakin Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) dapat mengelak masalah serupa, lapor Xinhua.
Coventry membuat kenyataan itu semasa sidang akhbar dalam talian selepas pengadil Somalia Omar Artan dinafikan kemasukan ke Amerika Syarikat (AS) menjelang Piala Dunia, yang bermula hari ini di Mexico.
Artan dilaporkan telah disoal siasat selama 11 jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami sebelum ditolak kemasukan, menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan masalah perjalanan dan visa untuk para peserta.
“Kami mengikuti semua yang berlaku setiap hari. Saya yakin dalam masa dua tahun, kami akan dapat mengatasi beberapa cabaran yang dihadapi Piala Dunia sekarang. Tetapi saya fikir ia juga memerlukan kerjasama dan pembelajaran, ” kata Coventry.
Beliau berkata pasukan petugas khusus AS telah ditubuhkan untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik Los Angeles dan IOC sentiasa berkongsi maklum balas daripada pihak berkepentingan.
“Kami hanya boleh terus bekerja rapat dengan Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik (OCOG) dengan Jawatankuasa Olimpik dan Paralimpik Amerika Syarikat (USOPC) pada masa ini untuk terus memberi maklum balas kami dan dapat menyokong atlet serta memastikan mereka berada di sana pada Sukan Olimpik LA28,” katanya.
Pengarah Sukan IOC, Pierre Ducrey, berkata pihak penganjur telah mengambil langkah proaktif dengan menugaskan kakitangan khusus untuk mengurus isu kemasukan dan akreditasi serta membuka pejabat di Washington, susulan lawatan beliau ke Los Angeles baru-baru ini.
“Terdapat hubungan kukuh yang mereka bina dengan pihak berkuasa, dengan agensi yang tepat yang perlu terlibat dalam proses ini,” kata Ducrey.
Beliau menambah penganjur sedang berusaha untuk mendidik agensi berkaitan kumpulan berbeza yang dijangka menghadiri temasya itu.
“Kebanyakan kerja adalah menjelaskan siapa yang akan datang, profil individu, peranan yang perlu mereka mainkan supaya kami juga boleh meluangkan banyak masa untuk mendidik agensi,” katanya. – Bernama