BEKAS penjaga gol lagenda bola sepak Sarawak, Jahar Nor berkesempatan menyuntik semangat inspirasi kepada pemain skuad Datus United selepas perlawanan persahabatan menentang Sarawak United ll di Stadium Sarawak, Ahad lalu.
Beliau yang juga merupakan jurulatih penjaga gol Sarawak United ll, menekankan bahawa seseorang pemain memerlukan disiplin tinggi dan bermain dengan semangat berpasukan adalah penting bagi seseorang pemain untuk pergi melangkah dengan lebih jauh.
Katanya, aspek ini sangat mustahak dimiliki seseorang pemain baharu jika mahu berjaya sebagai seorang pemain yang disegani dan mampu bertahan lebih lama.
“Pada saya, disiplin serta menghargai rakan-rakan dalam pasukan membolehkan seseorang pemain dapat terus meningkatkan kualiti permainan selain dapat beraksi dengan lebih efektif.
“Kita harus menghargai kerjasama dan sumbangan rakan-rakan dalam pasukan kerana tanpa mereka kita tidak boleh bermain dengan baik dan mampu mengukir nama,” katanya kepada pemain.
Beliau turut berpesan kepada pemain muda supaya bekerja dengan lebih keras, berdisiplin dan sentiasa merendah diri baik ketika berada dalam dan luar padang.
Beliau turut menekankan terutamanya pemain-pemain muda perlu mengikis budaya terlalu mementingkan ganjaran terlebih dahulu jika mahu pergi jauh.
Menurutnya, bakat sahaja belum menjamin kejayaan seseorang pemain jika mereka tidak berdisplin dan hilang fokus.
“Bakat sahaja tidak cukup, semua orang tahu tendang bola. Kita kena rajin dan perlu ada kekuatan diri. Pemain juga mesti ada keinginan untuk terus belajar memperbaiki kelemahan.
“Ganjaran pasti akan datang secara automatik jika orang melihat potensi kamu. Kerana itu kamu perlu sentiasa bekerja keras meningkatkan prestasi diri dan jangan mengalah,” ujarnya.
Menurut Jahar lagi, untuk berjaya seseorang pemain itu perlu memiliki ilmu selain bola sepak dan sentiasa fokus baik semasa latihan mahupun ketika perlawanan.
Apa yang penting tegasnya, pemain perlu mempunyai sikap positif dan ‘winning mentality’.
Jahar juga mengingatkan pemain-pemain muda supaya sentiasa menjaga imej dan maruah pasukan serta mengelak terbabit dalam perkara-perkara negatif.
Katanya, ini penting bagi memastikan kredibeliti seseorang pemain sentiasa terjaga dan sentiasa diingati penyokong serta peminat.
“Dulu rata-rata pemain sentiasa dikenang penyokong kerana nama mereka sentiasa bersih, saya fikir pemain yang ada sekarang harus meneledani sikap yang positif seperti itu jika mahu berjaya,” tegasnya.
Turut hadir Pengurus pasukan Datus United, Awang Putrayusrie Awang Redzuan dan Ketua jurulatih Datus United, Sufian Ibrahim.
Oleh ADI SAFARMAN