
PHNOM PENH: Bagi jutaan kanak-kanak yang terperangkap dalam zon konflik dan krisis kemanusiaan, bola sepak lebih sekadar satu permainan, ia ialah sumber harapan, penyembuhan dan hubungan manusia yang membantu mereka menghadapi trauma serta membina semula rasa normal di tengah-tengah ketidakpastian dan kehilangan.
Satu daripada lima kanak-kanak tinggal di zon konflik. Lebih 200 juta kanak-kanak memerlukan sokongan segera untuk terus hidup dan pulih daripada krisis, seperti konflik, bencana alam, kecemasan iklim atau wabak penyakit tahun ini, kata Save the Children yang berpangkalan di London.
“Bola sepak memang menyeronokkan tetapi bagi kanak-kanak yang hidup dalam keadaan krisis atau kecemasan, ia adalah satu bentuk permainan yang memberi mereka tumpuan, berehat daripada realiti pahit dalam kehidupan seharian mereka.
“Satu aktiviti dan tempat untuk berhubung semula dengan rakan sebaya mereka dan rasa kemandirian, membantu mereka memproses pengalaman mereka dan membina semula komuniti, bahagian penting dalam mencari harapan untuk masa depan yang lebih baik,” kata Penasihat Pendidikan Kanan di Save the Children, Arlo Kitchingman, dalam satu kenyataan akhbar.
Piala Dunia FIFA 2026, yang bermula pada 11 Jun, adalah unik tahun ini kerana ia diadakan di tiga negara iaitu Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Sebanyak 48 pasukan akan beraksi dalam 104 perlawanan sepanjang kejohanan 39 hari itu, yang merupakan penyertaan terbesar sejak edisi sulungnya di Uruguay pada 1930.
Save the Children telah melancarkan program berasaskan bola sepak, dengan ruang mesra kanak-kanak, untuk membawa harapan dan rasa kepunyaan kanak-kanak yang terperangkap oleh peperangan, konflik dan krisis kemanusiaan.
“Ketika dunia bersedia untuk menonton Piala Dunia 2026, di padang sementara merentasi kem pelarian dan dalam komuniti yang terjejas akibat konflik di seluruh dunia, bola sepak membantu kanak-kanak untuk kekal selamat dan mula pulih daripada trauma,” menurut kenyataan akhbar Save the Children.
Dalam beberapa persekitaran yang paling sukar di dunia, dari Sudan ke Ukraine ke Lubnan, bola sepak menyediakan lebih daripada sekadar hiburan.
Ia membantu kanak-kanak untuk kekal selamat, memproses trauma dan memulihkan rasa zaman kanak-kanak, menurut organisasi itu. – Bernama