
KUALA LUMPUR: Wastech Group Sdn Bhd merancang menubuhkan kilang salutan baja pelepasan terkawal di Malaysia sebagai sebahagian daripada usaha meletakkan negara sebagai hab teknologi baja termaju serantau.
Pengarah Eksekutifnya, Nicholas Hii berkata inisiatif itu yang dilaksanakan menerusi usaha sama strategik dengan Pursell Agri-Tech yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), akan membawa teknologi salutan baja premium kepada pengusaha pertanian di Malaysia dan rantau Asia Tenggara.
Beliau berkata langkah itu diambil ketika industri pertanian berdepan tekanan yang semakin meningkat susulan kenaikan kos input, gangguan rantaian bekalan serta keperluan meningkatkan produktiviti dengan sumber yang terhad.
“Kami percaya persekitaran semasa sedang mempercepatkan peralihan jangka panjang ke arah kecekapan, penggunaan teknologi dan daya tahan bekalan dalam sektor pertanian Malaysia.
“Malaysia akan terus bergantung kepada sebahagian bahan mentah baja yang diimport, namun terdapat keperluan yang kukuh untuk membangunkan lebih banyak keupayaan nilai tambah di peringkat tempatan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Bernama baru-baru ini.
Hii berkata kilang salutan baja yang dirancang di Malaysia itu bukan sahaja akan memenuhi permintaan domestik, malah mengukuhkan peranan negara dalam rantaian bekalan pertanian serantau.
Beliau berkata inisiatif itu turut disokong oleh kemudahan pengadunan baja Wastech di Pelabuhan Klang serta sebuah kemudahan yang dirancang di Bintulu, Sarawak.
Kemudahan itu akan membolehkan syarikat membangunkan formulasi baja tersuai yang disesuaikan mengikut jenis tanaman, keadaan tanah dan keperluan setiap wilayah.
Sementara kilang salutan baja dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada baja khusus siap yang diimport, memendekkan rantaian bekalan, meningkatkan keupayaan memenuhi keperluan pelanggan dengan lebih pantas serta menghasilkan penyelesaian yang lebih tersuai untuk pelbagai tanaman dan keadaan tanah di Asia Tenggara, katanya.
Hii berkata sektor pertanian kini semakin beralih kepada penyelesaian bersepadu yang menggabungkan nutrisi tanaman, pengairan, pengurusan air dan perkhidmatan agronomi.
Peningkatan kecekapan tidak lagi boleh bergantung semata-mata kepada inovasi baja kerana pengurusan air dan pertanian tepat semakin memainkan peranan penting dalam meningkatkan produktiviti dan kemampanan ladang, kata beliau.
Ditubuhkan pada 1984, Wastech merupakan penyedia penyelesaian agriteknologi, baja khusus dan kejuruteraan air bersepadu.
Antara produknya termasuk baja pelepasan terkawal di bawah jenama Multigreen, mikronutrien, biostimulan dan penyelesaian pertanian tepat. – Bernama