
ORLANDO: Perlawanan persahabatan pra-Piala Dunia terakhir England menentang Costa Rica ditangguhkan selepas ribut petir melanda Orlando.
Ribut petir berlaku sekitar 1.00 tengah hari (1700 GMT) waktu tempatan dan membadai bandar Florida tanpa henti berserta hujan lebat dan kilat.
Pasukan Thomas Tuchel dijadualkan menentang pasukan Amerika Tengah itu pada 4.00 petang waktu Timur (9.00 malam BST) namun padang di Stadium Inter&Co dinaiki air sejam setengah sebelum perlawanan bermula.
Walaupun air surut dengan cepat, sepak mula ditunda 20 minit kerana hujan dan cuaca buruk berterusan di kawasan itu.
Perlawanan boleh ditangguhkan selama 30 minit lagi jika terdapat satu lagi sambaran petir dalam radius lapan batu dari stadium.
Menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak: “Perlawanan hari ini menentang Costa Rica ditangguhkan kerana keadaan cuaca di Orlando. Kami akan memberikan kemas kini selanjutnya sebaik sahaja kami memperolehnya.”
Peminat England mencari tempat berlindung termasuk ada yang memasuki perpustakaan tempatan, manakala yang lain terpaksa mengharungi cuaca buruk. – Bernama