
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengarahkan Datin Seri Rosmah Mansor untuk membayar RM67.5 juta kepada Global Royalty Trading SAL iaitu syarikat barang kemas berpangkalan di Lubnan, berhubung kehilangan 43 utas barang kemas dalam tempoh sebulan bermula hari ini.
Hakim Datuk Quay Chew Soon membuat perintah itu, selepas membenarkan saman yang difailkan oleh Global Royalty terhadap Rosmah.
Hakim turut memerintahkan isteri kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak itu membayar kos sebanyak RM75,000 masing-masing kepada Global Royalty serta pihak ketiga, iaitu Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.
Pada 29 Mac 2023, Global Royalty memfailkan saman terhadap Rosmah dengan mendakwa beliau secara palsu menyatakan bahawa 44 utas barang kemas, termasuk rantai leher berlian, gelang tangan dan tiara yang dihantar kepadanya oleh ejen syarikat itu, telah disita oleh pihak berkuasa Malaysia di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Bagaimanapun, syarikat itu mendakwa hanya satu daripada 44 utas barang kemas berkenaan disimpan oleh polis, manakala baki 43 utas lagi tidak berada dalam jagaan pihak berkuasa.
Global Royalty turut menegaskan bahawa Rosmah telah meletakkan tanggungjawab terhadap kehilangan barang kemas tersebut kepada kerajaan Malaysia, sedangkan barang kemas itu sebenarnya telah hilang.
Hakim Quay, yang menyampaikan keputusan hari ini menerusi Zoom, mengarahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37 dalam tempoh sebulan, berserta faedah lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh dibuat.
Hakim itu turut menolak tuntutan Rosmah untuk mendapatkan tanggung rugi daripada pihak ketiga.
Hakim Quay berkata mahkamah mendapati defendan (Rosmah) gagal melaksanakan obligasinya sebagai pemegang amanah barang (bailI), sambil menegaskan bahawa kegagalan memulangkan barang kemas tersebut merupakan bukti prima facie berlakunya kecuaian.
Beliau berkata plaintif (Global Royalty) tidak menanggung beban untuk membuktikan secara terperinci bagaimana barang kemas itu hilang ketika berada dalam jagaan defendan.
Hakim itu turut menyatakan bahawa defendan tidak boleh sekadar merujuk kepada serbuan polis, kemungkinan penyitaan atau mendakwa pengawal peribadinya telah mengendalikan beg yang mengandungi barang kemas tersebut, bagi melepaskan beban undang-undang yang dipikulnya sebagai baili.
“Defendan mesti membuktikan secara jelas apa yang sebenarnya berlaku kepada barang kemas itu, bahawa kehilangannya bukan berpunca daripada kecuaiannya dan bahawa 43 utas barang kemas tersebut sememangnya telah disita oleh PDRM serta kekal utuh dan dapat dipertanggungjawabkan sepanjang rantaian jagaan yang didakwa. Namun, defendan gagal berbuat demikian.
“Cubaan defendan untuk mengalihkan tumpuan kepada penjelasan bersifat spekulatif berhubung serbuan dan penyitaan oleh PDRM tidak dapat dipertahankan. Hakikatnya, defendan gagal memulangkan baki 43 utas barang kemas tersebut dan tidak dapat memberikan penjelasan yang memuaskan mengenai nasib barang kemas berkenaan,” katanya.
Hakim Quay berkata defendan secara konsisten menegaskan dalam keterangannya bahawa barang kemas tersebut telah dihantar kepadanya untuk tujuan tontonan dan publisiti.
Beliau berkata walaupun didakwa barang kemas tersebut telah disita oleh polis semasa serbuan pada tahun 2018, keterangan yang dikemukakan hanya membuktikan satu fakta dengan pasti.
“Iaitu, satu utas barang kemas akhirnya dikenal pasti semasa prosiding pelucuthakan dan dipulangkan kepada plaintif. Tiada bukti yang menunjukkan bahawa baki 43 utas barang kemas itu pernah disita oleh PDRM,” katanya.
Hakim itu berkata satu aspek penting dalam pembelaan defendan gagal dipertahankan berikutan kegagalannya memanggil saksi-saksi material yang didakwa terlibat dalam pengendalian, penyimpanan berkunci, pembungkusan, penjagaan keselamatan dan pergerakan barang kemas tersebut.
Beliau berkata defendan cuba bergantung kepada “anggota keselamatan”, “pengawal peribadi”, “kakitangan”, “butler” dan individu lain yang tidak dikenal pasti, bagi menjelaskan bagaimana barang kemas itu dibungkus, bagaimana beg-beg tersebut dikunci dan dipindahkan, siapa yang mengendalikan kunci semasa pemindahan barang dari Sri Perdana, Putrajaya ke Pavilion 45 di sini, serta bagaimana barang kemas itu dijaga sebelum serbuan PDRM.
“Bagaimanapun, tiada seorang pun daripada saksi material tersebut dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan,” katanya.
Peguam Datuk David Gurupatham mewakili syarikat berkenaan, manakala Rosmah diwakili peguam Rajivan Nambiar. Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin pula bertindak bagi pihak Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.
Sementara itu, Rajivan ketika dihubungi berkata anak guamnya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut serta memohon penangguhan pelaksanaan keputusan yang dibuat hari ini.- Bernama