
SIMUNJAN: Dua remaja wanita maut manakala seorang lelaki cedera dalam kemalangan jalan raya melibatkan sebuah Perodua Myvi dan sebuah lori di Jambatan Batang Sadong, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 6.30 pagi sebelum menggerakkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan ke lokasi yang terletak kira-kira 20 kilometer dari balai.

Pasukan yang diketuai Komander Operasi, Eddy Sazali tiba di lokasi pada 6.51 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Perodua Myvi serta sebuah lori yang dipercayai mengalami kerosakan.
Kemalangan tersebut mengakibatkan dua penumpang wanita dipercayai tercampak keluar dari kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM).
Pemandu Perodua Myvi, mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, pemandu lori, dilaporkan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Pasukan bomba kemudian mengangkat kedua-dua mangsa ke tempat yang selamat sebelum menyerahkan mereka kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Kerja-kerja pembersihan turut dijalankan bagi menghapuskan sisa tumpahan minyak serta serpihan kemalangan di atas jalan raya bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut.
Operasi yang turut melibatkanf Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) tamat sepenuhnya pada 9.29 pagi.
Oleh Norman B