
KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) mengingatkan bahawa semua majikan perlu melaksanakan tanggungjawab sewajarnya bagi memastikan percukaian pekerja diuruskan dengan baik, sekali gus mengelakkan mereka daripada berdepan dengan masalah berkaitan percukaian.
Eksekutif HASiL Kanan II Jabatan Khidmat Korporat LHDN Sharifah Hakimah Syed Abu Bakar berkata antara tanggungjawab majikan dalam urusan percukaian pekerja ialah mendaftarkan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) Majikan atau TIN E menerusi perkhidmatan e-Daftar melalui portal MyTax.
“Selain itu, majikan juga perlu mengemukakan Borang E dan C.P.8D, menyediakan dan menyerahkan Penyata Saraan EA bagi sektor swasta serta EC bagi sektor kerajaan.
“Jika terdapat sebarang kemusykilan atau keraguan berkaitan percukaian, para majikan disarankan untuk terus menghubungi pihak kami atau mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi yang disediakan bagi mengelakkan salah faham dan kesilapan,” katanya ketika menjadi tetamu program Klinik Cukai terbitan Bernama Radio di sini, hari ini.
Beliau berkata majikan perlu sentiasa mengemas kini maklumat pekerja secara berkala seperti status perkahwinan, bilangan anak dan pendapatan kerana maklumat berkenaan mempengaruhi jumlah Potongan Cukai Bulanan (PCB) yang perlu dipotong daripada saraan atau gaji pekerja.
Sharifah Hakimah berkata pekerja boleh memberitahu majikan mengenai Tuntutan Potongan dan Rebat Individu bagi tujuan PCB melalui Borang TP1 sebanyak dua kali setahun, manakala maklumat berkenaan penggajian terdahulu melalui Borang TP3.
“Majikan perlu memaklumkan kepada setiap pekerja mengenai borang ini bagi memastikan mereka mendapat manfaat penuh daripada pelepasan cukai yang layak.
“Semua dokumen lengkap berkaitan pendapatan, PCB, borang, dan penyata gaji juga perlu disimpan hingga tujuh tahun bagi tujuan audit dan pematuhan cukai,” katanya.
Beliau berkata pemberitahuan kepada LHDN tentang pekerja baharu yang boleh dikenakan cukai atau layak dikenakan cukai merupakan tanggungjawab majikan, yang perlu dilaksanakan dalam tempoh 30 hari selepas penggajian pekerja berkenaan bermula.
“Pemakluman pekerja baharu ini perlu dilakukan dengan menghantar Borang CP22 (Borang Pemberitahuan Oleh Majikan Bagi Pekerja Baharu). Mulai 1 September 2024, borang pemberitahuan ini wajib dikemukakan menerusi aplikasi e-CP22 di portal MyTax.
“Manual Pengguna dan FAQ (soalan lazim)bagi e-CP22 juga boleh dicapai melalui portal MyTax>Panduan Pengguna,” katanya.
Sharifah Hakimah berkata majikan perlu memaklumkan kepada LHDN apabila berlaku perubahan status pekerja seperti pemberhentian kerja atau kematian dengan mengemukakan Borang CP22A bagi sektor swasta atau Borang CP22B bagi sektor awam.
“Borang ini perlu dihantar 30 hari sebelum tarikh pekerja berhenti kerja, atau tidak lebih 30 hari selepas dimaklumkan mengenai kematian pekerja. Maklumat ini penting bagi membolehkan HASiL mengeluarkan Surat Penyelesaian Cukai (SPC),” katanya.- Bernama