
KUCHING: AirBorneo mengesahkan beberapa penerbangan di Sabah dan Sarawak mengalami kelewatan serta pembatalan sejak 5 Jun lalu susulan gabungan faktor termasuk penyelenggaraan pesawat, kerja pembaikan teknikal tidak berjadual serta keperluan operasi dan kru.
Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan gangguan berkenaan dijangka berterusan dalam tempoh beberapa hari akan datang ketika beberapa pesawat sedang menjalani penyelenggaraan dan kerja pembaikan serentak.
Menurut AirBorneo, setiap keputusan operasi yang diambil adalah berpaksikan keutamaan terhadap keselamatan penumpang dan kru, termasuk tindakan mengeluarkan pesawat daripada perkhidmatan secara berjaga-jaga sehingga disahkan selamat untuk kembali beroperasi oleh pasukan kejuruteraan.
Situasi itu menyebabkan kapasiti operasi armada pesawat syarikat berkenaan menjadi terhad buat sementara waktu, sekali gus memberi kesan kepada kelancaran jadual penerbangan sedia ada.
“Dengan beberapa pesawat sedang menjalani penyelenggaraan dan pembaikan teknikal secara serentak, kami menjangkakan kemungkinan perubahan jadual, pembatalan dan kelewatan penerbangan akan terus berlaku dalam tempoh terdekat,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, AirBorneo menasihatkan penumpang supaya menyemak status penerbangan sebelum berangkat ke lapangan terbang bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Syarikat itu turut memaklumkan pasukan mereka sedang beroperasi sepanjang masa bagi meminimumkan kesan gangguan serta mengatur semula perjalanan penumpang yang terjejas ke penerbangan alternatif paling awal yang tersedia.
Penumpang yang terjejas akan dihubungi secara terus, selain boleh mendapatkan bantuan melalui pusat khidmat pelanggan AirBorneo di talian +60-8253 7555 (antarabangsa) atau 1 300 22 1388 (tempatan), serta laman sesawang rasmi di airborneo.com/en/contact-us untuk maklumat terkini, penjadualan semula dan bantuan lanjut.
AirBorneo dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada penumpang atas kesabaran dan pemahaman mereka, sambil menegaskan komitmen untuk memulihkan jadual penerbangan penuh secepat mungkin apabila ia selamat untuk dilaksanakan.