
KUALA LUMPUR: Lebih sedekad selepas pemergiannya, suara dan kenangan Biduanita Negara Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini kembali di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) menerusi konsert ‘A Tribute to Sharifah Aini’ yang menyatukan peminat pelbagai generasi.
Rakaman suara penyanyi legenda itu membuka tirai persembahan sebelum alunan overtur Burung Pungguk oleh Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) di bawah pimpinan konduktor Ahmad Muriz Che Rose membawa penonton mengimbau perjalanan seni empat dekad figura berkenaan.

Kemunculan penyanyi Asmidar menerusi lagu Seri Dewi Malam, antara lagu terawal yang memperkenalkan Sharifah Aini sebagai artis rakaman, membawa penonton kembali ke era awal kegemilangan seniwati yang tidak kurang gahnya dalam dunia lakonan.
Asmidar kemudian meneruskan persembahan dengan lagu rampaian Di Pinggir Kayangan, Sayang Musalmah dan Gunung Banang yang membangkitkan nostalgia keunggulan Sharifah Aini dalam membawakan lagu-lagu irama Malaysia dan asli sehingga menjadi antara identiti sepanjang perjalanan seninya.

Suasana dewan bertukar syahdu apabila penyanyi veteran Salamiah Hassan mengambil alih pentas menerusi Tiada Maaf Bagimu dan Kenang Daku Dalam Doamu, dengan vokalnya yang masih utuh dan penuh penghayatan meskipun sudah berusia 75 tahun.
“Ini suatu penghormatan bagi saya untuk berdiri di atas pentas berprestij ini bersama-sama pemuzik terbaik dan memberikan penghormatan kepada seorang kawan yang sangat baik (Sharifah Aini),” katanyam disambut tepukan gemuruh penonton.
Kemunculan Shiha Zikir pula menambah warna emosi konsert apabila penyanyi itu menyampaikan Mawar Putih Untuk Mama dan lagu rampaian Cahayamu Cahayaku, Seribu Mawar serta Ingatan Manis Di Bulan September.

Mengakui peluang membuat persembahan di DFP merupakan impian yang sekian lama disimpan, pelantun lagu Mula itu turut berkongsi hubungan rapatnya dengan Sharifah Aini yang dianggap seperti ibu sendiri dan dipanggil “Umi” sejak menyertai program realiti Mentor.
“Saya masih rasa aura diperhatikan oleh Umi. Hubungan kami sangat rapat macam mak dan anak sampai ke akhir hayat beliau,” katanya, menyifatkan Allahyarhamah sebagai seorang yang tegas dan mementingkan kesempurnaan, dan sifat itulah yang banyak membentuk dirinya menjadi wanita yang lebih kuat serta cekal dalam industri seni.
Masuk ke segmen kedua, Asmidar kembali menghangatkan pentas menerusi lagu rampaian Kekasih Pujaan, Di Malam Persandingan, Oh Di Mana, Yang Ditunggu Tak Tiba dan Surat Dari Seberang sebelum berkongsi pengalaman peribadinya yang hanya sempat bertemu Sharifah Aini sebanyak tiga kali sepanjang hayat penyanyi legenda itu.
“Mungkin saya tidak menyuarakan suara seseorang yang sangat rapat dengan beliau, tetapi malam ini saya menyampaikan suara anda semua, suara peminat-peminat Datuk Sharifah Aini,” katanya yang pernah menjadi antara peserta pilihan Allahyarhamah dalam program Mentor.
Salamiah kemudian sekali lagi mencuri perhatian apabila berkongsi sisi romantik sahabat baiknya itu yang gemar mengajak rakan-rakan ke rumah untuk menikmati masakannya sambil berbual hingga awal pagi.
“Beliau seorang yang sangat romantik, penuh empati dan banyak berbakti kepada anak-anak yatim,” katanya sebelum mendendangkan lagu rampaian Forever And Ever, Will You Still Love Me Tomorrow dan I Have A Dream yang mengundang nyanyian beramai-ramai dalam kalangan penonton.
Datuk Khadijah Ibrahim melengkapkan malam penuh nostalgia itu menerusi Hapuslah Air Matamu, Terbang Helang, Kau Tinggi Di Awan Biru, Rindu dan Kuda Ku Lari, selain berkongsi pelbagai kenangan persahabatannya dengan Allahyarhamah sepanjang bergelar anak seni.
Dalam segmen yang disulami gelak tawa penonton, tokoh disegani itu turut mendedahkan kisah di sebalik lagu Ku Gembira Di Sampingmu yang pada asalnya milik Sharifah Aini, namun ditolak biduanita itu pada peringkat awal.
“Lagu itu sebenarnya diberikan kepadanya, tetapi dia kata tak nak. Saya cakap ‘your loss’, sebab lagu itu kemudian menjadi sangat hit,” katanya berseloroh dan tampil bertenaga meskipun baru pulih daripada demam denggi yang menyebabkan kesukaran bernafas.
Konsert yang berlangsung lebih dua jam itu mencapai kemuncaknya dengan keempat-empat penyanyi bergabung di atas pentas mendendangkan lagu Seiring Sejalan sebelum seluruh penonton dalam DFP bangun memberikan tepukan sanjungan. – Bernama