
PUTRAJAYA: Kerajaan mewajibkan penyediaan Fasiliti Pengitaran Semula (FPS) di pusat membeli-belah sebagai antara syarat permohonan dan pembaharuan lesen premis di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang akan dilaksanakan secara berperingkat bermula bulan ini.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.
“Pelaksanaan inisiatif ini akan dimulakan dengan fasa libat urus dan program kesedaran bagi menggalakkan penyertaan sukarela pengusaha pusat membeli-belah diikuti pelaksanaan projek rintis di PBT terpilih bagi menilai keberkesanan mekanisme pelaksanaan.
“Seterusnya, penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berfasa sebelum diperluas kepada pematuhan mandatori melibatkan semua pusat membeli-belah di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.
KPKT memaklumkan keputusan itu langkah strategik kerajaan dalam memperkukuh pengurusan sisa pepejal negara, memudahkan akses orang ramai kepada kemudahan kitar semula serta mempercepat peralihan ke arah ekonomi kitaran yang lebih mampan.
KPKT memaklumkan cadangan itu akan diangkat untuk pertimbangan Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) bagi memastikan pelaksanaannya dapat diselaraskan secara menyeluruh pada peringkat kerajaan negeri dan PBT.
“Langkah ini amat signifikan memandangkan Malaysia menjana lebih 39,000 tan sisa pepejal setiap hari. Justeru, pendekatan lebih menyeluruh diperlukan bagi meningkatkan kadar kitar semula negara, menyokong pelaksanaan Peluasan Tanggungjawab Pengeluar (EPR) serta mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan sisa,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dalam kenyataan sama berkata inisiatif tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh budaya kitar semula dalam kalangan masyarakat serta memelihara kelestarian alam sekitar.
“Pusat membeli-belah merupakan antara lokasi paling kerap dikunjungi masyarakat. Dengan mewujudkan fasiliti kitar semula di lokasi strategik ini, rakyat akan mempunyai akses lebih mudah untuk mengasing dan menghantar bahan yang boleh dikitar semula secara bertanggungjawab,” katanya.
Nga berkata langkah itu bukan sahaja membantu meningkatkan kadar kitar semula negara serta mengurangkan jumlah sisa dihantar ke tapak pelupusan, malah menjadi pelaburan jangka panjang ke arah membentuk masyarakat lebih prihatin terhadap alam sekitar dan menyokong pembangunan ekonomi lebih lestari.
Selain itu, pelaksanaan inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada masyarakat, pengusaha pusat membeli-belah dan PBT melalui penyediaan kemudahan lebih mudah diakses, peningkatan kadar pengumpulan bahan kitar semula serta pengukuhan pengurusan data berkaitan aktiviti kitar semula secara lebih sistematik.
Selain menyokong sasaran Kadar Kitar Semula Kebangsaan, pewujudan FPS turut membantu memperkukuh pengurusan sisa pepejal bandar serta meningkatkan skor kemampanan bandar di bawah sistem MURNInets.
Orang ramai juga berpeluang menjana nilai ekonomi menerusi program trash to cash melalui penghantaran bahan kitar semula ke fasiliti yang disediakan.
Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, KPKT akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri, PBT, pengusaha pusat membeli-belah serta kementerian dan agensi berkaitan dalam menyediakan garis panduan yang jelas dan seragam bagi pelaksanaan inisiatif tersebut di seluruh negara.
KPKT menyeru semua pihak termasuk kerajaan negeri, PBT, pengusaha pusat membeli-belah, sektor swasta dan masyarakat untuk bersama-sama menjayakan inisiatif itu demi membentuk Malaysia yang lebih bersih, hijau dan mampan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI serta agenda pembangunan lestari negara. – Bernama