Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Kelupis: Resipi tradisi, warisan masyarakat Kedayan
  • Utara
  • WILAYAH

Kelupis: Resipi tradisi, warisan masyarakat Kedayan

Utusan Sarawak 6 hours ago
MERIAH… Datuk Rosey ketika berkunjung untuk menyaksikan majlis Membungkus Kelupis di Kampung Tanjung Bungai, hari ini.

BEKENU: Kelupis mempunyai rasa lemak yang istimewa serta tekstur lembut yang menjadi kegemaran ramai, ini kerana ada petua, amalan, rahsia di setiap langkah dalam menyediakannya.

Bagi masyarakat di utara Sarawak, khususnya kaum Kedayan, kelupis bukan sekadar makanan tradisional, malah menjadi simbol kebersamaan, semangat gotong-royong dan warisan turun-temurun yang sentiasa dihidangkan dalam pelbagai perayaan serta majlis keramaian, terutama Majlis Makan Tahun.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Datuk Rosey Yunus berkata, kelupis diperbuat daripada beras pulut yang dimasak bersama santan, garam dan sedikit minyak sebelum dibungkus menggunakan daun tradisional seperti daun silas dan nyirik.

“Menjelang musim Makan Tahun, penyediaan kelupis biasanya dilakukan secara bergotong-royong dalam masa dua hari oleh penduduk kampung.

“Proses membungkus pulut ke dalam daun memerlukan kemahiran tersendiri kerana ikatan yang kemas membantu memastikan bentuk dan kualiti kelupis kekal baik selepas dimasak.

DATUK Rosey menunjukkan kelupis yang sudah siap dibungkus.

“Selain keenakan rasanya, antara keistimewaan kelupis ialah kemampuannya disimpan dalam tempoh yang lama jika menggunakan kaedah yang betul,” katanya ketika ditemui di majlis Membungkus Kelupis di Kampung Tanjung Bungai hari ini.

Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu menambah, pada masa dahulu, masyarakat menyimpan kelupis untuk bekalan perjalanan jauh.

“Ketahanan kelupis, rahsianya bermula daripada proses memasak pulut yang perlu dilakukan dengan sempurna.

“Pulut hendaklah dimasak sepenuhnya bersama santan yang mencukupi bagi memastikan teksturnya kekal lembut dan tidak mudah menjadi keras selepas disimpan.

“Penggunaan daun nyirik juga sering menjadi pilihan kerana sifat daunnya yang lebih tebal dan mampu membantu mengekalkan kesegaran makanan. Setelah siap dikukus, kelupis perlu dibiarkan sejuk sepenuhnya.

“Kaedah ini membolehkan teksturnya kembali lembut dan gebu seolah-olah baharu dimasak,” jelasnya.

Selain itu, kayu api pun ada petuanya sendiri semasa mengambil kayu api di hutan secara gotong-royong, tambahnya lagi.

Setiap bungkusan daun yang diikat kemas menyimpan nilai budaya, kenangan keluarga dan semangat kebersamaan yang diwariskan dari satu generasi ke generasi berikutnya.

Walaupun zaman terus berubah, kelupis kekal relevan sebagai makanan warisan yang bukan sahaja enak dinikmati, malah praktikal untuk disimpan dalam jangka masa panjang.

Keunikan inilah yang menjadikan kelupis terus menjadi juadah istimewa yang menghiasi meja makan setiap kali tibanya musim perayaan dan acara keluarga.

Oleh Adum Liu

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Michael Tiang ingatkan penerima lesen B2 jauhi gejala mat rempit, lumba haram
Next: Wilfred Yap sumbang RM5,000 perkukuh pembangunan catur di Kuching

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.