
KUALA TERENGGANU: The Malaysia Aviation Skill Standards Association (MASSA) menjalin kerjasama strategik dengan syarikat teknologi Korea, Braindrop Co. Ltd (Braindrop) bagi meneroka insiatif keselamatan penerbangan berkaitan risiko bateri lithium dan power bank atau bank kuasa dalam kabin pesawat.
Presiden MASSA Dr Nur Zairahtul Amirah Kamallazim berkata kerjasama bertujuan memperkenal dan menilai secara teknikal teknologi kawalan kebakaran, TNF Air Pouch iaitu sebuah beg kalis api yang direka khas oleh Braindrop Co.Ltd khas untuk menyokong usaha mitigasi risiko melibatkan insiden larian haba atau thermal runaway dalam pesawat.
Beliau berkata inisiatif itu juga selari dengan peningkatan kesedaran global terhadap insiden berkaitan bateri lithium dalam industri penerbangan, khususnya penggunaan power bank atau peranti elektronik mudah alih yang dibawa penumpang.
“Melalui kerjasama ini MASSA dan Braindrop bercadang untuk menyokong usaha kesedaran industri, inisiatif penilaian teknikal, serta penglibatan lebih meluas bersama pihak-pihak berkepentingan industri penerbangan di Malaysia.
“Untuk langkah seterusnya, kedua-dua pihak dijangka meneroka inisiatif penilaian dan pengujian teknikal di Malaysia. Inisiatif ini masih di peringkat libat urus industri dan penilaian teknikal,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Nur Zahratul Amirah berkata kerjasama ini akan memberi fokus awal kepada industri penerbangan dalam Malaysia, sebelum dikembangkan ke rantau ASEAN pada masa depan. – Bernama