
KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam julat AS$4,400 hingga AS$4,500 bagi setiap auns troy pada minggu depan.
Keadaan itu didorong oleh permintaan terhadap aset selamat itu susulan ketidaktentuan berkaitan unjuran kadar faedah oleh Amerika Syarikat (AS).
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama faktor lain seperti pasaran tenaga kerja AS yang berdaya tahan selain jangkaan peningkatan inflasi, juga berkemungkinan menyaksikan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan pendirian monetari yang ketat apabila bermesyuarat pada 16-17 Jun ini.
Prospek sedemikian akan menjadikan pelabur lebih berhati-hati selain menyokong emas sebagai aset yang lebih selamat.
Bagi perbandingan minggu ke minggu, kontrak Jun 2026 susut kepada AS$4,484.50 setiap auns troy daripada AS$4,553.30 pada penutupan minggu lepas; Julai 2026 turun kepada AS$4,499.20 setiap auns troy daripada AS$4,567.00 manakala Ogos 2026 berkurangan kepada AS$4,513.90 setiap auns troy daripada AS$4,567.00.
September 2026 juga susut kepada kepada AS$4,518.40 setiap auns troy daripada AS$4,567.00 dan Oktober 2026 turun kepada AS$4,522.90 setiap auns troy daripada AS$4,567.00 sebelum ini.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 39 lot daripada 66 lot manakala kepentingan terbuka susut kepada 60 kontrak daripada 98 kontrak, seminggu lepas.
Harga emas fizikal ditetapkan pada AS$4,496.95 setiap auns troy mengikut penetapan oleh London Bullion Market Association pada 4 Jun, 2026.- Bernama