
JIKA sebelum ini bertih jagung dan pencuci mulut menjadi antara buah tangan popular di majlis perkahwinan, kini muncul satu lagi konsep yang kian mencuri perhatian tetamu, iaitu “veggie bar” atau reruai sayur-sayuran segar.
Pelbagai jenis sayur antaranya timun, tomato, lobak merah, bendi dan cili ditawarkan kepada tetamu untuk dibawa pulang sebagai buah tangan, menggantikan cenderamata “tradisional” seperti telur rebus dan wajik.
Usahawan Erni Eliani Zailani, 34, berkata konsep itu diperkenalkan beliau ketika majlis pertunangan adiknya pada tahun lepas dan berjaya menjana minat tetamu, mendorongnya untuk menjadikan kegiatan tersebut sebagai perniagaan sampingan dan memenuhi permintaan pelanggan di pelbagai majlis termasuk perkahwinan, program komuniti dan acara korporat.

“Ibu bapa saya merupakan peniaga sayur di pasar awam jadi saya membesar dengan latar belakang perniagaan ini. Apabila masuk alam pekerjaan, saya mula cari jalan untuk pasarkan sayur-sayur ini dengan cara lebih premium,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata pengalamannya lebih sedekad sebagai pereka set dan juruhias dimanfaatkan sepenuhnya untuk “mempersembahkan” sayur-sayuran tersebut dengan cara lebih estetik mengikut tema majlis.
Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni daripada Universiti Teknologi MARA, berkata ramai tetamu teruja melihat reruai sayur-sayuran di majlis-majlis sedemikian dengan ada yang mengambil peluang itu untuk berinteraksi sesama sendiri tentang hidangan yang boleh disediakan.
“Biasanya bila tetamu datang ke booth, saya akan tanya mereka nak masak apa. Ada yang pilih sayur tertentu sebab dah ada menu yang nak dimasak. Kita berbual macam dekat pasar. Kadang-kadang mereka tanya sayur mana yang sesuai untuk masakan tertentu dan ada juga yang berkongsi resipi.
“Mungkin mereka ambil sebatang lobak merah, dua biji tomato, sebatang timun atau beberapa batang bendi. Cukup untuk sekali atau dua kali masak,” katanya yang menawarkan pakej sekitar RM1,200 untuk maksimum 200 orang tetamu.

Erni Eliani berkata konsep perniagaannya itu turut membuka peluang rezeki kepada pekebun sayur kecil-kecilan di beberapa kawasan di Selangor, seperti Meru dan Kapar.
“Kita support mak cik, pak cik yang tanam sayur di kampung. Ada yang tak tahu nak pasarkan hasil tanaman mereka di mana, jadi kita beli hasil mereka untuk digunakan dalam perniagaan yang kita jalankan,” katanya.
Beliau juga menyifatkan pendekatan itu dapat menggalakkan orang ramai memilih makanan segar sebagai sebahagian daripada amalan pemakanan harian.
“Sayur ini makanan asas kita, doktor pun selalu galakkan orang ramai lebihkan makan sayur berbanding makanan segera. Sayur bukan sekadar ‘goodies’. Orang boleh bawa balik dan terus memasaknya di rumah,” katanya. – Bernama