
PAKAN: Semangat kebersamaan dan perpaduan yang menjadi tunjang sambutan Hari Gawai Dayak perlu terus dipelihara bagi memastikan keharmonian masyarakat kekal utuh dan warisan budaya masyarakat Dayak terus dihargai oleh generasi akan datang.
Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien berkata, perayaan tersebut bukan sekadar sambutan tahunan selepas musim menuai padi, malah menjadi wadah penting dalam memelihara adat, budaya serta memperkukuhkan hubungan kekeluargaan dan komuniti Dayak yang diwarisi turun-temurun.
Katanya, perayaan tersebut merupakan simbol kesyukuran atas hasil tuaian yang diperoleh selain menjadi platform untuk memastikan warisan budaya masyarakat Dayak terus dipelihara dan dihargai oleh generasi akan datang.
“Perayaan ini memberi peluang kepada masyarakat untuk pulang ke kampung halaman, berkumpul bersama keluarga serta mengeratkan semula hubungan dengan sanak saudara, sahabat handai dan komuniti setempat.
“Bagi mereka yang tidak berpeluang pulang kerana komitmen kerja dan tanggungjawab tertentu, semangat Gawai tetap diraikan melalui nilai kebersamaan, perpaduan dan penghargaan terhadap warisan budaya yang menjadi identiti masyarakat Dayak,” katanya ketika menghadiri majlis Ngabang Hari Gawai Dayak di Rumah Ranggak, Manding Baru, baru-baru ini.
Tambahnya, semangat bermuafakat, kerjasama dan perpaduan yang dipupuk menerusi tradisi kunjung-mengunjung serta aktiviti komuniti memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan keharmonian dan pembangunan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak.
Beliau turut menyerahkan peruntukan berjumlah keseluruhan RM29,000 kepada beberapa organisasi komuniti bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan setempat.
Antara penerima sumbangan tersebut ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Ranggak, Biro Wanita Rumah Ranggak, Biro Wanita Rumah Indit, Biro Wanita Rumah Eddy dan Biro Wanita Rumah Gata.
Oleh Earl Anek