
MONTREAL, Kanada: Air Canada mengumumkan semalam bahawa syarikat itu menggantung perkhidmatan penerbangannya ke Cuba untuk tempoh yang tidak ditetapkan, dengan alasan “ketidaktentuan politik dan ekonomi” di pulau itu yang kini berdepan tekanan semakin meningkat daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Syarikat penerbangan nasional Kanada itu, yang pada Februari lalu mengumumkan penangguhan penerbangan ke Cuba sehingga November, berkata langkah berkenaan bertujuan memberikan kepastian yang lebih jelas kepada pelanggan mengenai prospek perjalanan pada masa hadapan.
“Berikutan ketidaktentuan politik dan ekonomi yang berterusan di Cuba, Air Canada menggantung perkhidmatannya ke pulau itu untuk tempoh yang tidak ditetapkan,” menurut kenyataan syarikat yang berpangkalan di Montreal itu.
Rakyat Kanada sebelum ini merupakan antara penyumbang utama sektor pelancongan Cuba, namun sumber pendapatan tersebut semakin merosot selepas Washington menghentikan bekalan bahan api ke negara itu dan mengancam untuk melancarkan pencerobohan.
Minggu lalu, syarikat Blue Diamond Resorts dari Kanada turut mengumumkan penutupan kesemua 62 hartanah miliknya di Cuba.
Sekatan bekalan bahan api yang berkuat kuasa sejak Januari menyebabkan Cuba mengalami kekurangan diesel untuk mengendalikan penjana elektrik yang digunakan bagi menyokong sistem bekalan tenaga negara itu yang semakin uzur.
Keadaan itu mengakibatkan gangguan bekalan elektrik sehingga 22 jam sehari selain masalah kekurangan bekalan air paip.
Dengan sistem pengangkutan yang hampir lumpuh sepenuhnya, Cuba juga berdepan kekurangan bekalan makanan dan ubat-ubatan, sekali gus meningkatkan kebergantungan kepada bantuan yang dihantar dari Mexico dan China. — AFP