Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Kes rasuah Guan Eng: Pegawai penyiasat tidak tahu Zarul Ahmad ada kaitan dengan syarikat lain 
  • NASIONAL

Kes rasuah Guan Eng: Pegawai penyiasat tidak tahu Zarul Ahmad ada kaitan dengan syarikat lain 

Utusan Sarawak 3 hours ago
GUAN Eng. Foto hiasan. Foto Bernama.

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa beliau tidak tahu bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, mempunyai kaitan dengan sebuah syarikat pembinaan lain yang memasuki tender terbuka bagi membida projek pembinaan tiga jalan utama serta terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulhilmi Ramli berkata, selain Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG), syarikat VST Cemerlang Sdn Bhd turut memasuki tender terbuka bagi membida projek mega berkenaan.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti sama ada Zarul Ahmad yang meletakkan VST Cemerlang sebagai pembida dan hanya mengetahui ahli perniagaan itu ada kaitan dengan CZBUCG.

Saksi pendakwaan ke-38 itu berkata demikian ketika disoal balas peguam Haijan Omar, pada perbicaraan kes rasuah dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung projek pembinaan jalan utama dan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.

Ketika ditanya peguam adakah dalam siasatannya menunjukkan Zarul Ahmad dengan senyap-senyap meletakkan VST Cemerlang untuk membida bagi projek itu, Zulhilmi berkata beliau tidak pasti.

Ketika disoal lanjut sama ada beliau mengetahui Zarul Ahmad mempunyai pengaruh atau kepentingan dalam VST Cemerlang yang membolehkan syarikat itu turut membida projek berkenaan, Zulhilmi menjawab: “Saya tidak tahu.”

Haijan kemudian mencadangkan bahawa saksi tidak pernah menyiasat perkara tersebut dan tidak mengetahui sebab, asas serta kepentingan di sebalik penyertaan VST Cemerlang dalam tender itu.

Bagaimanapun Zulhilmi tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan memaklumkan beliau menyiasat kes itu berdasarkan aduan.

Ketika peguam itu menyatakan bahawa perkara berkenaan telah diabaikan dalam siasatan, Zulhilmi sekali lagi menegaskan beliau tidak bersetuju.

Sebelum ini, Zulhilmi menerusi pernyataan saksinya berkata CZBUCG merupakan syarikat yang terbaik daripada lima pembida yang dinilai bagi projek berkenaan.

Beliau berkata, CZBUCG telah memperolehi markah 93 peratus berbanding pembida terdekat iaitu VST Cemerlang yang memperoleh markah 77 peratus, menyebabkan syarikat CZBUCG telah dipilih mendapatkan tender bagi projek terbabit.

Lim, 65, didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta, dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702, di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad, sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut itu, yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 23 Julai depan. – Bernama 

Continue Reading

Previous: Kerajaan Persekutuan kekal iktiraf kedudukan Tuanku Muhriz – PM Anwar
Next: Tiada rakyat Malaysia terjejas dalam insiden pesawat Lufthansa di lapangan terbang Frankfurt

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.