Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Penghayatan Rukun Negara perlu diperkukuh, bukan sekadar hafalan – Ahli Akademik
  • NASIONAL

Penghayatan Rukun Negara perlu diperkukuh, bukan sekadar hafalan – Ahli Akademik

Utusan Sarawak 5 hours ago
GAMBAR hiasan.

PUTRAJAYA: Penghayatan terhadap Rukun Negara perlu diperkukuh dan tidak boleh lagi terhenti sekadar lafaz atau hafalan, khususnya dalam mendepani cabaran polarisasi sosial, budaya digital serta peningkatan ujaran kebencian dalam masyarakat, kata ahli akademik.

Mereka berpandangan peringatan berulang kali oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim mengenai kepentingan Rukun Negara sejak kebelakangan ini wajar dijadikan pemangkin untuk menilai semula tahap penghayatan rakyat terhadap falsafah kebangsaan itu.

Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian MADANI, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesional Dr Zainal Abidin Sanusi berkata peringatan berulang mengenai Rukun Negara tidak semestinya menggambarkan rakyat sudah melupakan prinsip itu, cuma boleh ditafsirkan sebagai petanda bahawa penghayatannya semakin lemah.

Beliau berkata selama lebih lima dekad ini, Rukun Negara hanya dilihat sebagai ritual rasmi yang dilaungkan dalam perhimpunan, dihafal untuk peperiksaan dan dicetak dalam bahan pendidikan tanpa benar-benar diterjemahkan dalam kehidupan seharian.

“Apabila prinsipnya diuji oleh provokasi sebenar seperti penghinaan terhadap simbol agama, ujaran kebencian dan sikap biadab di ruang awam maka ia kelihatan rapuh. Tetapi yang rapuh bukanlah prinsip itu tetapi penghayatan kita terhadapnya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pengalaman Indonesia dalam mengangkat Pancasila sebagai falsafah negara yang terus diperdebatkan secara terbuka menunjukkan bahawa sesuatu prinsip kebangsaan perlu sentiasa dibincang dan ditafsir agar kekal relevan.

“Rukun Negara pula terlalu lama dibiarkan tanpa perbahasan. Kita tersilap menganggap kesunyian itu sebagai kesepakatan,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah di Jabatan Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Ratna Roshida Ab Razak berkata cabaran utama ketika ini bukan tentang kurang pengetahuan tentang Rukun Negara, tetapi kurang penghayatan terhadap prinsip tersebut.

Beliau berkata keadaan itu mewujudkan apa yang disifatkan sebagai “krisis rasa bernegara” apabila rakyat mengetahui prinsip Rukun Negara tetapi gagal menghayatinya dalam kehidupan harian.

“Rukun Negara tidak akan hidup hanya melalui hafalan. Ia hidup melalui rasa yang dilahirkan dari hati. Apabila lahir rasa bernegara dalam hati seseorang, maka akan lahir penghormatan terhadap Perlembagaan, institusi negara, kepelbagaian masyarakat serta tanggungjawab sebagai warganegara,” katanya.

Beliau berkata pendekatan memperkukuh Rukun Negara juga perlu berubah selaras dengan landskap semasa, termasuk memanfaatkan media sosial seperti TikTok, Instagram dan YouTube sebagai ruang pendidikan sivik yang lebih dekat dengan generasi muda.

Ratna Roshida berkata pendekatan itu tidak boleh lagi bersifat syarahan atau hafalan semata-mata, sebaliknya perlu disampaikan menerusi penceritaan, dialog dan pengalaman yang mampu membina kesedaran serta menyentuh emosi.

Beliau berkata isu semasa seperti buli siber, berita palsu, ujaran kebencian, penghormatan terhadap perbezaan pandangan serta etika penggunaan kecerdasan buatan (AI) juga perlu dikaitkan dengan prinsip Rukun Negara supaya terus relevan.

Kedua-dua ahli akademik itu berpandangan Rukun Negara perlu dihidupkan semula sebagai panduan kehidupan masyarakat dan tidak sekadar menjadi lafaz dalam acara rasmi atau bahan hafalan di sekolah.

Ini kerana kekuatan sebenar Rukun Negara bukan terletak pada kelancaran rakyat melaungkan prinsipnya tetapi pada sejauh mana nilai tersebut diterjemahkan dalam tindakan harian demi memperkukuh perpaduan negara. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: PM arah KPT, KKM selesai segera isu kelayakan PharmD lulusan Universiti Alexandria – PMO
Next: Tangkapan vesel asing turun 73.8 peratus sejak 2021 – KP Perikanan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.