Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Lapan kes hantaran palsu krisis bekalan global dikompaun RM200,000 – Teo
  • NASIONAL

Lapan kes hantaran palsu krisis bekalan global dikompaun RM200,000 – Teo

Utusan Sarawak 3 hours ago
TEO Nie Ching berkata lapan individu dikenakan kompaun RM25,000 setiap seorang kerana menyebarkan hantaran palsu berkaitan krisis bekalan global dan isu Selat Hormuz. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan kes hantaran palsu berkaitan isu krisis bekalan global yang melibatkan pelbagai dakwaan termasuk mengenai harga bahan api dan situasi di Selat Hormuz, dikenakan kompaun dengan nilai keseluruhan RM200,000.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kompaun berjumlah RM25,000 dikenakan ke atas setiap individu terlibat, manakala lima lagi kes dibawa ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata setakat 6 Mei lepas, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengenal pasti lebih 600 hantaran palsu terkait isu krisis bekalan global.

“Angka ini menggambarkan betapa seriusnya ancaman maklumat palsu dalam landskap media semasa, di sinilah pentingnya fungsi media untuk terus menjadi benteng utama dalam menangkis penyebaran berita palsu serta sebarang bentuk manipulasi fakta,” katanya.

Teo berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Bersama Rakan Strategik Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi Datuk Bahria Mohd Tamil dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang Ghopran Yeop Hamzah.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja HAWANA 2026 Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.

Selain itu, Timbalan Ketua Pengarang (Perkhidmatan Berita) Bernama merangkap Pengarah Projek HAWANA 2026 Mohd Shukri Ishak dan Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Harlina Samson.

Dalam ucapannya, Teo berkata media bukan sahaja bertanggungjawab melaporkan fakta, tetapi turut berperanan membantu masyarakat memahami konteks yang lebih luas di sebalik sesuatu peristiwa.

“Di tengah-tengah lambakan maklumat digital, media arus perdana mesti berfungsi sebagai ejen yang menapis dan menjernihkan kekeruhan maklumat, bukannya menambah kekeliruan dalam masyarakat,” katanya. 

Sementara itu, Teo berkata Majlis Media Malaysia (MMM) kini melaksanakan Mekanisme Aduan Fasa 2 bagi memperkukuh tadbir urus kendiri bermula 8 April lepas, dengan semua aduan perlu dikemukakan melalui platform rasmi dan bukan lagi melalui e-mel.

Beliau berkata pendekatan itu memastikan pengurusan aduan lebih tersusun, telus dan profesional sekali gus dapat meningkatkan keyakinan masyarakat.

Teo berkata sehingga 31 Mei lepas, MMM menerima 13 aduan melibatkan isu ketepatan laporan, penggunaan imej tanpa kebenaran dan kesan kandungan terhadap keharmonian sosial dengan 11 daripadanya telah diselesaikan, manakala bakinya sedang dalam proses semakan.

Dalam perkembangan lain, Teo berkata 768 penerima Tabung Kasih@HAWANA telah mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan sejak diperkenalkan pada 2023, dengan jumlah sumbangan sebanyak RM2.24 juta. – Bernama

Tags: Nasional

Continue Reading

Previous: Kumpulan pertama jemaah haji selamat tiba di tanah air

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.