
LAWAS: Waktu operasi di semua pintu sempadan utara Sarawak kembali beroperasi seperti biasa bermula hari ini, iaitu dari 6.00 pagi hingga 10.00 malam.
Menurut kenyataan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), para pengembara dinasihatkan merancang perjalanan dengan sebaiknya bagi mengelakkan sebarang masalah di pintu sempadan Malaysia dan Brunei.
Pintu sempadan yang terlibat ialah Pos Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Mengkalab di Lawas, CIQ Tedungan dan CIQ Pandaruan di Limbang, serta CIQ Sungai Tujuh di Miri.
Setakat petang ini, kesesakan masih berlaku di semua CIQ berkenaan termasuk di CIQ Merapok yang bersempadan dengan Sabah.
Selain itu, pengembara yang perlu melalui pos sempadan di Brunei turut dinasihatkan mencetak salinan borang ketibaan (E-Arrival) untuk ditunjukkan di kaunter imigresen negara tersebut.
Semua urusan melibatkan pengisian maklumat kenderaan dan dokumen berkaitan yang dilakukan secara dalam talian disarankan diselesaikan lebih awal.
Ini berikutan masalah liputan internet yang kurang memuaskan di Lawas, khususnya di kawasan luar bandar.
Sebelum ini, waktu operasi di pintu-pintu sempadan berkenaan dilanjutkan sehingga 12.00 tengah malam sempena cuti Hari Gawai dan cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.