Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEKNOLOGI
  • Airbus selesai lakukan penerbangan sulung jet jarak jauh ultra
  • TEKNOLOGI

Airbus selesai lakukan penerbangan sulung jet jarak jauh ultra

Utusan Sarawak 7 hours ago
PENGELUAR pesawat terbesar di dunia, Airbus, mengumumkan semalam bahawa pesawat pertama daripada 12 pesawat A350 yang diubah suai bagi tempahan syarikat penerbangan Australia, Qantas, telah berjaya menyempurnakan penerbangan sulungnya.

PARIS: Pengeluar pesawat terbesar di dunia, Airbus, mengumumkan semalam bahawa pesawat pertama daripada 12 pesawat A350 yang diubah suai bagi tempahan syarikat penerbangan Australia, Qantas, telah berjaya menyempurnakan penerbangan sulungnya.

Agensi berita Jerman dpa melaporkan bahawa Qantas berhasrat menggunakan pesawat buatan pengeluar Eropah itu terutamanya bagi menawarkan penerbangan tanpa henti jarak jauh ultra yang menghubungkan Sydney dengan New York dan London.

Menurut syarikat pengeluar itu, pesawat jarak jauh ultra A350-1000ULR yang dikendalikan oleh kru ujian penerbangan khas Airbus itu berlepas buat kali pertama dari Bandar Toulouse, Perancis, dan terbang selama tiga jam 43 minit merentasi ruang udara negara itu serta Pantai Atlantik Perancis.

“Susulan kempen ujian penerbangan berkenaan, pesawat MSN 707 akan diubah suai mengikut spesifikasi komersial Qantas,” kata Airbus.

Syarikat itu turut berkata pesawat jarak jauh ultra kedua dijadualkan dihantar kepada syarikat Australia berkenaan pada April 2027 dan “kini berada di peringkat akhir pemasangan serta sedia untuk keluar dari bengkel pengecatan dalam masa beberapa hari lagi.”

Sementara itu, Qantas menyatakan bahawa “kejayaan penerbangan sulung ini menandakan bermulanya kempen ujian selama dua bulan,” dan menambah bahawa pihaknya akan mengumumkan laluan pertama bagi projek yang dikenali sebagai “Project Sunrise” serta jadual perkhidmatan komersial sulungnya pada akhir Jun ini.

Syarikat penerbangan itu menempah 12 pesawat A350 yang diubah berkenaan pada 2022. Pada masa itu, ia merancang untuk memulakan operasi penerbangan tanpa henti menghubungkan Sydney dengan bandar raya – bandar raya termasuk New York dan London bermula akhir 2025.

Sebelum ini, Airbus menyatakan bahawa isu rantaian bekalan menjadi punca kepada kelewatan berkenaan.

Pada masa ini, tiada penerbangan langsung yang menghubungkan pantai timur Australia dengan Eropah.

Laluan London-Sydney merangkumi jarak sejauh 17,750 kilometer, iaitu lebih 1,500 kilometer lebih jauh berbanding laluan New York-Sydney. Bagaimanapun, kedua-dua laluan itu akan mengambil masa yang hampir sama – sehingga 22 jam – disebabkan oleh faktor angin belakang.

-Bernama  

Tags: Teknologi

Continue Reading

Previous: ‘Schneider Electric’ perkenal sistem kuasa 800VDC untuk pusat data AI

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.